Ucapan Selamat Tinggal

Biasakan menyebut:
أَسْتَوْدِعُكَ الله
Maksudnya: "Aku tinggalkan kamu kepada Allah." 
 
Bacaan ini dibaca atau diucapkan untuk setiap orang yang kita sayangi atau dibimbangi keselamatannya. Ini kerana Nabi kita yang mulia SAW telah bersabda:
 
إذا استُودِع الله شيئا حفظه
 
Maksudnya: "Apabila ditinggalkan sesuatu kepada Allah, Dia akan memeliharanya." Riwayat alBaihaqi, dinilai Sahih oleh Ibn Hibban, Ibn Hajar dan alAlbani.
 
 
Wallahu a'lam

Penyakit Yang Perlu DIjauhi Oleh Para Penyeru Dan Pengamal Kebaikan

Kata Imam alZahabi RH:
 
"Berapa ramai lelaki yang menuturkan kebenaran, menyuruh melakukan kebaikan, lalu Allah jadikan dia dikuasai oleh orang yang menyakitinya disebabkan buruk niatnya dan cintanya ia kepada kepimpinan dalam agama. Ini merupakan penyakit tersembunyi yang bergerak di dalam jiwa para fuqahaa', sepertimana ia juga penyakit yang bergerak di dalam jiwa mereka yang banyak berinfaq dari kalangan orang-orang kaya, pewakaf-pewakaf, penyumbang-penyumbang tanah perkuburan yang hebat-hebat. Ia juga merupakan penyakit tersembunyi yang bergerak di dalam jiwa tentera, para pemimpin dan para mujahidin." (Siyar A'lam alNubalaa' 18/193)
 
 
Wallahu a'lam

Celaan Gopoh Berfatwa

Kata Nafi' RA:
 
"Seorang lelaki bertanya kepada Ibn ' Umar RA tentang satu masalah. Lalu Ibn 'Umar menghangguk-hanggukkan kepalanya, namun tidak menjawab soalan tersebut, sehingga orang ramai menyangka beliau tidak mendengar soalan tersebut. Lelaki itu berkata: "Semoga Allah merahmatimu, apakah anda mendengar soalan saya?" Jawab Ibn 'Umar: "Bahkan (ya), akan tetapi kamu semua seperti menyangka Allah tidak akan bertanya kepada kami tentang apa yang kamu semua tanyakan kepada kami (apa jawapan yang kami berikan). Tinggalkan kami, semoga Allah merahmati kamu semua, sehingga kami memahami persoalan kamu, jika kami ada jawapannya. Jika tidak maka kami beritahukan kepada kamu bahawa kami tidak memiliki ilmu untuk menjawabnya." (alTabaqaat oleh Ibn Sa'ad 5202)
Wallahu a'lam