Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

Suatu hari al-Imam Yahya bin Syarf al-Nawawi RH menyampaikan kuliah kepada anak-anak muridnya. Ketika beliau membaca ayat alQuran:

نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ، وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الألِيمُ

Maksudnya: "Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan bahawa azabKu,  adalah azab yang pedih." (alHijr: 49-50)

Tiba-tiba beliau menangis teresak-esak. Tanya anak muridnya: "Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Imam?"

Jawab Imam alNawawi: "Tidakkah kamu perhatikan rahmatnya Allah, ketika mana Dia menisbahkan rahmat dan maghfirah kepada diri-Nya dgn Dia berfirman:

"Sesungguhnya Aku, 'AKU'lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Manakala Dia tidak menisbahkan azab kepada diriNya, sebaliknya Dia hanya menjadikan azab itu suatu yang dimilikinya sahaja dengan firmanNya:

"Dan bahawasanya azabKu, ia adalah azab yang pedih." Dia tidak berfirman: "Sesungguhnya Aku, Akulah Yang Maha Mengazab (المعذِّب)."

Lalu aku tiba-tiba teringatkan perkataan Ibn 'Abbas RA yang berkata:

إن الله ينزل رحمات يوم القيامة حتى يظن إبليس أن الله سيغفر له

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah akan menurunkan rahmat-Nya pada hari kiamat, sehingga Iblis akan menyangka yang Allah akan memberi keampunan kepadanya." (Hadis ini dari sudut periwayatan, ada masalah. Imam Ibn Kathir telah memberi komen kepada hadis yang hampir sama dengannya di dalam kitab Tafsir beliau dengan katanya: "Hadis ini Gharib Jiddan, Sa'ad (seorang periwayatnya) tidak aku kenali." Justeru untuk mengatakan ia perkataan Ibn Abbas sahaja tidak kuat apatah lagi untuk disandarkan kepada Nabi SAW)

Namun secara umum, terdapat sokongan dari dalil-dalil alQuran dan hadis-hadis sahih lain yang menunjukkan keluasan rahmat dan keampunan dari Allah SWT.

Wallahu a'lam

Allah Lebih Sayangkan Ismail AS Berbanding Hajar

Hajar bimbangkan keselamat anaknya Ismail AS. Beliau berlari antara bukit Safa dan Marwah, beliau menyangka barangkali di belakang dua bukit itu terdapatnya air untuk Ismail...

Ternyata, Allah lebih sayangkan Ismail. Allah terbitkan air tidak jauh dari Ismail dengan hentakan sayap atau tumit Jibrail..

Benarlah.... Allah memberi jalan keluar kepada hamba-Nya yang bertaqwa dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Wallahu a'lam

Allah Memperkenankan Doa Melalui Jalan Yang Tidak Disangka-sangka

Nabi Musa AS memohon diturunkan hujan untuk kaumnya. Namun Allah menghendaki agar baginda memukulkan tongkatnya ke batu sehingga terpancar 12 mata air. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah Ayat 60:

۞ وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ فَقُلْنَا اضْرِب بِّعَصَاكَ الْحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ ۖ كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka bumi ini dengan melakukan kerosakan”. {alBaqarah:60}

Wallahu a'lam