SDI 1833: Apakah Ada Qunut Pendek?

Soalan:

Ustaz, ada terdengar doa qunut pendek...ada kah sebutan nya (lafaznya)?

Jawapan:

Baik, isu qunut pendek, itu kita namakannya, ataupun orang Melayu namakannya sebagai qunut pendek. Akan tetapi perkara sebenar yang dibahaskan oleh para fuqaha mazhab Syafi‘e, iaitulah dari sudut dengan apa qunut itu terlaksana? Maka, seringkas-ringkasnya hendalah qunut itu mengandungi lafaz doa dan pujian kepada Allah SAW. Hal ini disebut oleh sebahagian fuqaha Syafi‘e. Setahu saya inilah pandangan al-Imam al-Ramli RH. Kerana itu kita akan dapati dalam beberapa kitab antaranya al-Fiqh al-Manhaji dan Hasyiah al-Bujairami antara yang disebut lebih kurangnya:

يؤدي المصلي قنوته بأن يقول...

Hendaklah seseorang yang menunaikan solat menunaikan qunutnya, sekurang-kurangnya hendaklah terdapat ungkapan doa dan thana’, iaitu doa dan pujian kepada Allah SWT. Seperti dia berkata:   

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ يَا غَفُوْر، وَارْحَمْنِيْ يَا رَحِيْم

Atau boleh juga:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ يَا غَفُوْر، وَارْحَمْ يَا رَحِيْم

Maksudnya: “Ya Allah kurniakan keampunan kepadaku”, yang termasuk dalam kategori doa. Manakala: “Ya Ghafur” bermaksud: “Tuhan yang Maha memberi keampunan”, yang termasuk dalam kategori pujian kepada Allah.

Demikian juga:

اللَّهُمَّ ارْحَمْنِيْ يَا رَحِيْم

Maksudnya: “Ya Allah rahmatilah daku”, yang merupakan satu bentuk doa, manakala; “Ya Rahim”, yang bermaksud; “Wahai tuhan yang maha pengasih”, merupakan satu bentuk pujian kepada Allah.

Jadi sesiapa yang membaca qunut dengan sekurang-kurangnya mengandungi doa dan pujian kepada Allah dengan niat melakukan qunut Subuh, maka terlaksanalah qunut tersebut dan tidak perlu lagi melakukan sujud Sahwi di sisi fuqaha mazhab Syafi‘e yang mengatakan qunut Subuh termasuk dalam sunat ab‘adh. Ini antara doa yang disebut oleh beberapa ulama dan ada lagi lafaz-lafaz yang lain.

Apapun inilah pandangan fuqaha mazhab Syafi‘e berkaitan lafaz yang paling ringkas untuk dihukum terlaksananya qunut Subuh, hendaklah mengandungi apa-apa doa dan pujian kepada Allah sekalipun pendek.


Cetak  
Wallahu a'lam