SDI 1829: Selawat Nuril Anwar

Soalan:

Ustaz, saya biasa mendengar selawat yang berbunyi:

اللَّهُمَّ صَلِّّ وَسَلِّمْ عَلَى نُورِ الْأَنْوَارِ، وَسِرِّ الْأَسْرَارِ، وَتِرْيَاقِ الْأَغْيَارِ،وَمِفْتَاحِ بَابِ الْيَسَار، سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْمُخْتَارِ، وَ آلِهِ الْأَطْهَارِ، وَأَصْحَابِهِ الْأَخْيَارِ.

Apakah makna selawat ini, bolehkah sebut nabi sebagai cahaya? Apa pula makna “sirrir asrar” dan “wa tiryaqil aghyar?” saya dapati ada sedikit perbezaan pada terjemahan untuk ungkapan tersebut, apakah makna sebenarnya dan adakah zikir ini sahih daripada Nabi SAW?

Jawapan:

Selawat yang ditanyakan dalam soalan, ia bukan dari hadis Nabi SAW. Selawat ini lebih kurang maknanya:

“Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas cahaya segala cahaya, rahsia segala rahsia, penawar segala yang selain-Mu, anak kunci kepada pintu kemudahan, penghulu kami Muhammad yang terpilih, serta ke atas keluarga baginda yang suci dan para sahabatnya yang terbaik.”

Selawat yang bukan dari Nabi SAW, kebiasaannya lafaz-lafaznya memiliki kesamaran. Secara ringkas maksud kepada ungkapan yang ditanya ialah;

[1]limpahkanlah selawat dan salam ke atas cahaya segala cahaya

Cahaya yang dimaksudkan dalam lafaz selawat ini merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Menamakan baginda sebagai cahaya bertepatan dengan tafsiran sebahagian ulama kepada firman Allah SWT:

قَدْ جَاءكُم مِّنَ اللّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ

"Sungguh telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan sebuah Kitab yang jelas." [al-Ma’idah: 15]

Al-Imam at-Tabari رحمه الله berkata:

يعني بالنور محمداً صلى الله عليه وسلم

 Yang dimaksudkan dengan "cahaya" ialah Muhammad صلى الله عليه وسلم.”

al-Imam al-Baghawi رحمه الله dalam tafisirnya 2/32 berkata:

يعني محمداً صلى الله عليه وسلم وقيل الإسلام

 “Yang dimaksudkan (dengan cahaya) ialah Muhammad صلى الله عليه وسلم, dan ada juga yang mengatakan: Islam.”

[2] Ungkapan: وَتِرْيَاقِ الْأَغْيَارِ, dimana تِرْيَاقِ adalah ubat atau penawar kepada sekelian racun (دواء السموم). Manakala الْأَغْيَارِ pula merujuk kepada segala yang selain Allah. Jadi ungkapan ini boleh diterjemahkan sebagai: “(Ya Allah limpahkanlah selawat dan salam) ke atas penawar (merujuk kepada Nabi SAW) dari segala yang selain Allah”, mungkin ungkapan ini bermaksud baginda SAW berperanan sebagai penawar dari bebanan dunia kepada sesiapa yang mengalaminya. Jika memaksudkan Nabi SAW itu dapat menjadi penawar ketika hidup baginda kepada sesiapa yang mengalami apa-apa bebanan berkaitan urusan dunia, makna ini boleh diterima. Namun jika dimaksudkan baginda adalah penawar kepada sesiapa yang memerlukan, sekalipun setelah bqginda wafat, maka maksud ini bermasalah. Kerana penawar sebenarnya kepada segala penyakit hanyalah Allah SWT.

[3] Manakala menyebut baginda sebagai: وَسِرِّ الْأَسْرَارِ “(Ya Allah limpahkanlah selawat dan salam ke atas) rahsia segala rahsia (merujuk kepada Nabi SAW)”, adalah ungkapan umum yang bergantung kepada pengucapnya. Ia juga boleh digunakan oleh golongan tertentu sama ada yang sesat atau yang jahil, untuk sampai kepada makna-makna yang rosak.

               Nabi SAW adalah seorang manusia yang dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu dari Allah SWT. Baginda adalah manusia yang paling utama dan paling mulia, namun baginda bukanlah "rahsia", dan tidak ada dalam agama kita ini sesuatu yang dianggap sebagai "rahsia" dalam erti seperti yang dimaksudkan oleh sebahagian orang.

Oleh kerana itu, selawat yang terbaik dan selamat adalah selawat yang diajarkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dari riwayat-riwayat yang sahih. Selawat paling mudah dan terbaik yang dihafal oleh semua umat Islam ialah selawat Ibrahimiyyah yang dibaca di penghujung solat sebelum memberi salam.

Seperti yang dinyatakan di awal jawapan ini, lafaz selawat ini bukanlah sesuatu yang datang daripada sumber yang sahih. Sebahagian lafaznya pula menimbulkan persoalan berkaitan makna yang dimaksudkan. Dalam masa yang sama, Nabi SAW telah  mengajarkan kepada kita lafaz-lafaz untuk berselawat dan mengucapkan salam kepada baginda. Ambillah lafaz selawat yang Baginda ajarkan. Sesungguhnya petunjuk daripada baginda itu adalah telah memadai dan petuntuk baginda itulah yang terbaik.


Cetak  
Wallahu a'lam