SDI 1827: Waktu Terbaik Membaca Surah al-Kahfi Pada Hari Jumaat

Soalan:

Bilakah waktu yang paling baik untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat? Malam Jumaat atau siangnya?

Jawapan:

Dianjurkan bersegera membaca surah al-Kahfi berdasarkan keumumam firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

“Maka berlumbalah dalam melakukan perkara-perkara baik.” (Al-Baqarah: 148)

al-Khatib al-Syarbini dalam Mughniy al-Muhtaj 1/564 berkata:

وَالظَّاهِرُ كَمَا قَالَ الْأَذْرَعِيُّ أَنَّ الْمُبَادَرَةَ إلَى قِرَاءَتِهَا أَوَّلَ النَّهَارِ أَوْلَى مُسَارَعَةً وَأَمْنًا مِنْ الْإِهْمَالِ، وَقِيلَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ، وَقِيلَ بَعْدَ الْعَصْرِ، وَفِي الشَّامِلِ الصَّغِيرِ عِنْدَ الرَّوَاحِ إلَى الْجَامِعِ، وَعَنْ الشَّافِعِيِّ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - أَنَّهُ قَالَ: وَأُحِبُّ الِاسْتِكْثَارَ مِنْ قِرَاءَةِ الْكَهْفِ فِي لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ، وَجَرَى عَلَيْهِ الْجُرْجَانِيِّ، وَنَقَلَ الْأَذْرَعِيُّ عَنْ الشَّافِعِيِّ وَالْأَصْحَابِ أَنَّهُ يُسَنُّ الْإِكْثَارُ مِنْ قِرَاءَتِهَا فِي يَوْمِهَا وَلَيْلَتِهَا. قَالَ: وَقِرَاءَتُهَا نَهَارًا آكَدُ

"Dan yang zahir, sebagaimana yang dikatakan oleh al-Azra‘i: “bahawa menyegerakan bacaan surah al-Kahfi pada awal siang (hari Jumaat) adalah lebih utama agar bersegera melakukan kebaikan dan selamat dari kelalaian. Ada yang berpendapat (waktu terbaik membacanya) sebelum terbit matahari, dan ada yang berpendapat selepas Asar. Dalam al-Syamil al-Saghir dinyatakan: “ketika dalam perjalanan menuju ke masjid (untuk menunaikan solat Jumaat, sekalipun di awal pagi). Dan daripada al-Imam al-Syafi‘I, semoga Allah meredhainya, beliau berkata: “Aku suka memperbanyak bacaan surah al-Kahfi pada malam Jumaat.” Pendapat ini diikuti oleh al-Jurjani. Dan al-Azra‘i menukilkan daripada al-Imam al-Syafi‘i dan para sahabat beliau bahawa disunatkan memperbanyak bacaan surah al-Kahfi pada siang dan malam Jumaat. Katanya: “Dan membacanya pada siang hari adalah lebih ditekankan.”


Cetak  
Wallahu a'lam