SDI 1798: Hukum Ucapan Salam Dan Zikir Dalam Bahasa Selain Arab

Zikir dan Doa Jumlah paparan: 53

Soalan:

Bolehkah ucapan salam (Assalamualaikum), diucapkan bukan dalam bahasa Arab dan menjawabnya juga bukan dalam Bahasa Arab? Bolehkah juga zikir-zikir lain diucapkan dalam bahasa selain Arab?

Jawapan:

Tujuan utama yang dikehendaki dari pengucapan salam dan zikir-zikir adalah kepada kandungan atau makna, maksud, dan faedahnya. Sudah tentu semua ini boleh dicapai sekalipun bukan dalam bahasa Arab. Oleh itu, para ulama telah mengeluarkan fatwa dalam berbagai isu bahawa tidak wajib menggunakan bahasa Arab dalam berzikir.

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

فِي السَّلَامِ بِالْعَجَمِيَّةِ ثَلَاثَةُ أَوْجُهٍ، ثَالِثُهَا: إِنْ قَدَرَ عَلَى الْعَرَبِيَّةِ، لَمْ يُجْزِئْهُ. قُلْتُ: الصَّوَابُ صِحَّةُ سَلَامِهِ بِالْعَجَمِيَّةِ إِنْ كَانَ الْمُخَاطَبُ يَفْهَمُهَا، سَوَاءٌ قَدَرَ عَلَى الْعَرَبِيَّةِ أَمْ لَا، وَيَجِبُ الرَّدُّ؛ لِأَنَّهُ يُسَمَّى تَحِيَّةً وَسَلَامًا

“Pada ucapan salam dengan bahasa ‘ajam (bukan Arab) terdapat tiga pendapat. Pendapat yang ketiga menyatakan: jika seseorang mampu berbahasa Arab, tidak sah salamnya (dengan bukan bahasa Arab). Aku (al-Nawawi) menyatakan: Pendapat yang benar adalah sah ucapan salamnya dengan bahasa bukan Arab, sekiranya orang yang diberi salam itu memahaminya, sama ada si pemberi salam mampu berbahasa Arab atau tidak, dan wajib menjawab salam kerana ia tetap dinamakan sebagai tahiyyah dan salam.” – Tamat petikan dari Raudhah al-Talibin (10/230).

Perkara yang sama juga dinyatakan oleh para ulama dalam isu menyebut nama Allah (membaca basmalah) ketika penyembelihan.

Ibn Qudamah rahimahullah berkata:

وإِنْ ذكرَ اسمَ اللَّه تعالَى بغيرِ العَرَبِيَّةِ، أَجْزَأَه وإنْ أحْسَنَ العربِيَّةَ؛ لأنَّ المقْصودَ ذِكْرُ اسمِ اللَّهِ، وهو يَحْصُلُ بجميعِ اللُّغاتِ، بخلافِ التَّكْبِيرِ فى الصَّلاةِ، فإنَّ المَقْصُودَ لفظُه

“Jika seseorang menyebut nama Allah (baca basmalah) dengan bukan bahasa Arab, maka ia telah memadai, walaupun orang itu mampu berbahasa Arab, kerana yang dimaksudkan adalah menyebut nama Allah, dan ini boleh dilakukan dalam semua bahasa, tidak seperti takbir dalam solat, yang tujuan utamanya adalah lafaz itu sendiri.” – Tamat dari al-Mughni (13/260).

Namun yang lebih baik, ialah mengekalkan lafaz salam dalam Bahasa Arab, terutama dalam Masyarakat yang telah terbiasa dan memahami maksud salam. Apatah lagi para ulama memakruhkan ungkapan Arab, dituturkan dalam bahasa selain Arab tanpa ada keperluan.

Ibn Taimiyyah rahimahullah menukilkan perkataan al-Imam al-Syafi‘I yang berkata:

"...اللسان الذي اختاره الله عز وجل لسان العرب، فأنزل به كتابه العزيز، وجعله لسان خاتم أنبيائه محمد ﷺ: ولهذا نقول: ينبغي لكل أحد يقدر على تعلم العربية أن يتعلمها؛ لأنه اللسان الأولى بأن يكون مرغوبا فيه من غير أن يحرم على أحد أن ينطق بأعجمية. فقد كره الشافعي لمن يعرف العربية، أن يسمي بغيرها، وأن يتكلم بها خالطا لها بالعجمية، وهذا الذي قاله الأئمة مأثور عن الصحابة والتابعين."

... Bahasa yang dipilih oleh Allah Azza wa Jalla ialah bahasa Arab. Dia menurunkan kitab-Nya yang mulia dengan Bahasa Arab, dan menjadikannya bahasa Rasul terakhir, Muhammad SAW. Oleh itu, kami katakan: “Setiap orang yang mampu mempelajari bahasa Arab hendaklah mempelajarinya, kerana ia bahasa yang lebih utama untuk diminati, tanpa mengharamkan seseorang daripada bercakap dalam bahasa lain.” Al-Imam al-Syafi‘i memakruhkan bagi mereka yang tahu bahasa Arab menamakan sesuatu dengan selain Bahasa Arab, atau bercakap dengan bahasa Arab dan menyampurkannya dengan bahasa selain Arab (tanpa keperluan). Perkara ini juga disebut oleh para imam, berdasarkan apa yang mereka terima dari para sahabat dan tabi‘in.” – Tamat dari Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim (1/521–522).

 

Cetak
Wallahu a'lam