Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Adakah benar kita dilarang mengucap in sya'a Allah setelah berdoa? Terima kasih ustaz. Barakallahufiikum
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
[1] Ucapan: "Insya-Allah" (إِنْ شَاءَ الله) “jika dikehendaki Allah”, membawa maksud yang sama dengan ucapan: إِنْ شِئْتَ "jika Engkau kehendaki". Kedua-duanya merupakan bentuk menggantungkan sesuatu kepada kehendak Allah.
Sememangnya terdapat larangan menggantungkan doa kepada kehendak Allah. Antaranya terdapat dalam sabda Nabi SAW yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim daripada Abu Hurairah RA yang berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَالَ: لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمُ اللهُمَّ اغْفِرْ لِي اللهُمَّ ارْحَمْنِي، إِنْ شِئْتَ لِيَعْزِمَ الْمَسْئَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ
“Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah sama sekali salah seorang daripada kamu berkata: “Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau kehendaki, Ya Allah, rahmatilah aku jika Engkau kehendaki”; hendaklah dia bersungguh-sungguh dalam permintaan, kerana sesungguhnya tiada siapa yang memaksa-Nya."
Larangan ini adalah berbentuk makruh, bukan haram menurut pendapat yang sahih. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari 11/140 berkata:
قَالَ بن عَبْدِ الْبَرِّ لَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَقُولَ اللَّهُمَّ أَعْطِنِي إِنْ شِئْتَ وَغَيْرُ ذَلِكَ مِنْ أُمُورِ الدِّينِ وَالدُّنْيَا لِأَنَّهُ كَلَامٌ مُسْتَحِيلٌ لَا وَجْهَ لَهُ لِأَنَّهُ لَا يَفْعَلُ إِلَّا مَا شَاءَهُ، وَظَاهِرُهُ أَنَّهُ حَمَلَ النَّهْيَ عَلَى التَّحْرِيمِ وَهُوَ الظَّاهِرُ وَحَمَلَ النَّوَوِيُّ النَّهْيَ فِي ذَلِكَ عَلَى كَرَاهَةِ التَّنْزِيهِ وَهُوَ أَوْلَى
“Ibn ‘Abd al-Barr berkata: "Tidak boleh bagi sesiapa pun untuk berkata: “Ya Allah, berilah kurniaan kepadaku jika Engkau kehendaki,” dan seumpamanya daripada urusan agama dan dunia; kerana ia adalah ucapan yang mustahil, tiada makna padanya, kerana Allah hanya melakukan apa yang Dia kehendaki." Zahir perkataan ini, beliau memahami larangan itu sebagai haram, dan itu juga adalah zahir hadis. Namun al-Nawawi mentakwilkan larangan itu sebagai makruh tanzih, dan ini lebih utama,”
Sebahagian ulama lain berpendapat ucapan: "Insya-Allah" selepas berdoa, jika bertujuan untuk tabarruk atau mengharapkan keberkatan, maka ia juga tidak makruh. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari 11/140 berkata:
وَقَالَ الدَّاوُدِيُّ مَعْنَى قَوْلِهِ لِيَعْزِمِ الْمَسْأَلَةَ أَنْ يَجْتَهِدَ وَيُلِحَّ وَلَا يَقُلْ إِنْ شِئْتَ كَالْمُسْتَثْنِي وَلَكِنْ دُعَاءُ الْبَائِسِ الْفَقِيرِ قُلْتُ وَكَأَنَّهُ أَشَارَ بِقَوْلِهِ كَالْمُسْتَثْنَى إِلَى أَنَّهُ إِذَا قَالَهَا عَلَى سَبِيل التَّبَرُّك لَا يكره وَهُوَ جيد
“Al-Dawudi berkata: "Maksud sabda Nabi: “hendaklah dia bersungguh-sungguh dalam permintaan”, iaitu dia berusaha dengan bersungguh dan merintih (mengulang-ulang) dalam doa, dan janganlah dia gantungkan permintaannya dengan berkata: “ika Engkau kehendaki”, seolah-olah dia membuat pengecualian, akan tetapi hendaklah dia berdoa seperti doa orang miskin yang sangat memerlukan." Kataku (Ibn Hajar): “Seakan-akan al-Dawudi mengisyaratkan dengan kata-katanya: “Seperti membuat pengecualian”, bahawa jika seseorang itu mengucapkannya dengan tujuan tabarruk (mengharapkan keberkataan dengan ungkapan Insya Allah), maka ia tidak dimakruhkan, dan ini adalah pandangan yang baik.”
[2] Terdapat hadis yang menunjukkan Nabi ﷺ ada menggantungkan doa baginda dalam bentuk perkhabaran dengan In sya Allah. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:
وَكَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا دَخَلَ عَلَى مَرِيضٍ يَعُودُهُ قَالَ: لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
“Nabi SAW dahulunya apabila menziarahi orang sakit, baginda akan berkata: “Tidak mengapa, sakit ini menghapuskan dosa insya Allah.”
Abu Daud meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA yang berkata:
كَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ الله
“Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila berbuka puasa, baginda berkata: “Telah hilang dahaga, dan telah basah urat-urat leher, serta tetaplah pahala, insya-Allah.”
[3] Oleh itu, jika sesuatu doa disusun berbentuk perkhabaran, maka tiada larangan untuk digantungkan kepada kehendak Allah, sama seperti doa Nabi SAW kepada orang sakit dengan ucapan: لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ yang bermaksud: "Semoga menjadi pencucian dosa, insya-Allah." Atau seseorang berkata kepada temannya yang ditimpa musibah kematian ahli keluarga dengan berkata: “Saudaramu yang meninggal dunia itu, gugur sebagai seorang yang syahid, insyaAllah.” Atau seseorang berkata kepada rakannya yang akan menduduki peperiksaan atau temudugu: “Lulus dengan jayanya, insya Allah” atau: “Diberikan taufiq, insya Allah”, dan seumpamanya.
Kata al-Syeikh Dr. Abdul Karim al-Khudhair Hfz dalam Syarh Sunan al-Tirmizi 1/16:
إذا جاء الدعاء بلفظ الأمر: اللهم اغفر لي، ارحمني، اللهم اغفر لفلان، هذا لا يجوز ربطه بالمشيئة، وجاء النهي عن ذلك، أما إذا جاء بلفظ الخبر ـ وإن كان دعاء ـ فلا مانع من أن يقال: غفر الله لك إن شاء الله، وجزاك الله خيراً إن شاء الله، لا مانع، لأن النبي عليه الصلاة والسلام قال: طهور إن شاء الله ـ وقال: وثبت الأجر إن شاء الله ـ لما أفطر، فمثل هذا لا بأس به إذا جاء بلفظ الخبر، لا بصيغة الأمر. اهـ.
“Jika doa datang dalam bentuk mohon perkenan, seperti: “Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, Ya Allah, ampunilah si fulan, maka tidak boleh digantungkan kepada kehendak Allah, dan telah ada larangan mengenainya. Tetapi jika doa itu datang dalam bentuk pengkhabaran, sekalipun ia adalah doa, tidak mengapa untuk dikatakan: “Semoga Allah mengampunimu insya-Allah”, dan “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan insya-Allah”, tiada larangan, kerana Nabi ﷺ bersabda: “Pencucian (dosa) insya-Allah (ketika baginda menziarahi orang sakit)” dan “Tetaplah pahala insya-Allah”, ketika baginda berbuka puasa. Maka lafaz doa seperti ini tidak mengapa (menyebut insya Allah) jika diungkap dalam bentuk pengkhabaran, bukan dalam bentuk permohonan.”
[4] Perkara yang paling penting dalam berdoa ialah, pengharapan yang benar terhadap Allah SWT. Tentang sabda Nabi SAW: “Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh dalam permintaannya”, Ibn menukilkan perkataan ulama yang berkata:
فِي الْحَدِيثِ أَنَّهُ يَنْبَغِي لِلدَّاعِي أَنْ يَجْتَهِدَ فِي الدُّعَاءِ وَيَكُونَ عَلَى رَجَاءِ الْإِجَابَةِ وَلَا يَقْنَطَ مِنَ الرَّحْمَةِ فَإِنَّهُ يَدْعُو كَرِيمًا وَقد قَالَ بن عُيَيْنَةَ لَا يَمْنَعَنَّ أَحَدًا الدُّعَاءَ مَا يَعْلَمُ فِي نَفْسِهِ يَعْنِي مِنَ التَّقْصِيرِ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَجَابَ دُعَاءَ شَرِّ خَلْقِهِ وَهُوَ إِبْلِيسُ حِينَ قَالَ رَبِّ أَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
“Ibn Battal berkata mengenai hadis ini: "Seseorang yang berdoa sepatutnya bersungguh-sungguh dalam doanya, serta mengharap agar doanya dikabulkan, dan tidak berputus asa daripada Rahmat Allah; kerana sesungguhnya dia sedang berdoa kepada Tuhan yang Maha Pemurah.” Ibn ‘Uyaynah pula berkata: “Jangan seseorang itu terhalang daripada berdoa hanya kerana dia menyedari kekurangannya. Maksudnya kekurangan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Allah telah memperkenankan doa makhluk-Nya yang paling buruk, iaitu Iblis, ketika iblis berkata: “Wahai Tuhanku, tangguhkanlah aku hingga hari mereka dibangkitkan.”