Syiar Hari Raya Dengan Bertakbir

Oleh: al-Syeikh Sa‘id al-Jabiri

Terjemah dan olahan: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Sunnah bertakbir pada hari raya ‘Ied al-Fitri dan ‘Ied al-Adha termasuk dalam syiar hari raya, syiar keindahan dan perhiasannya.

Allah telah mensyariatkan bertakbir pada Hari Raya Fitri selepas menyempurnakan bilangan hari Ramadan, sebagaimana firman-Nya:

وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"Dan supaya kamu cukupkan bilangannya (puasa di bulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu." (al-Baqarah: 185)

Takbir juga disyariatkan pada Hari Raya Aidiladha.

Rasulullah SAW sendiri bertakbir ketika hari raya, begitu juga para sahabat Baginda sama ada secara berkumpulan mahupun berseorangan dan dalam hal ini terdapat keluasan (kelonggaran) sama ada bertakbir secara berjemaah atau individu.

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahih-nya:

أن ابن عمر رضي الله عنهما ﻳﻜﺒﺮ ﻓﻲ ﻗﺒﺘﻪ ﺑﻣﻨﻰ ﻓﻴﺴﻤﻌﻪ ﺃﻫﻞ اﻟﻤﺴﺠﺪ ﻓﻴﻜﺒﺮﻭﻥ ﻭﻳﻜﺒﺮ ﺃﻫﻞ اﻷﺳﻮاﻕ ﺣﺘﻰ ﺗﺮﺗﺞ ﻣﻨﻰ ﺗﻜﺒﻴﺮا

“Bahawa Ibn Umar RA bertakbir di dalam khemahnya di Mina, lalu ahli masjid mendengar takbir beliau dan mereka turut bertakbir, kemudian orang-orang yang berada di pasar juga bertakbir sehingga bergema Mina dengan laungan takbir.”

Imam al-Baihaqi menambah:

حتى ترتج منى تكبيرا واحدا

"Sehingga bergema Mina dengan satu suara takbir."

Ibn Hajar berkata:

وهو مبالغة في اجتماع رفع الصوت

"Ini menunjukkan bersangatan suara-suara yang beriringan bertakbir secara bersama."

Juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih-nya:

ﻭﻛﺎﻥ اﺑﻦ ﻋﻤﺮ ﻭﺃﺑﻮ ﻫﺮﻳﺮﺓ رضي الله عنهما ﻳﺨﺮﺟﺎﻥ ﺇﻟﻰ اﻟﺴﻮﻕ ﻓﻲ ﺃﻳﺎﻡ اﻟﻌﺸﺮ ﻳﻜﺒﺮاﻥ، ﻭﻳﻜﺒﺮ اﻟﻨﺎﺱ ﺑﺘﻜﺒﻴﺮﻫﻤﺎ

"Ibn Umar dan Abu Hurairah RA keluar ke pasar pada hari-hari sepuluh (awal Zulhijjah), mereka bertakbir, lalu orang ramai turut bertakbir dengan takbir mereka."

Perhatikan perkataan Ibn Hajar:  "Ini menunjukkan bersangatan suara-suara yang beriringan bertakbir secara bersama " Ini bermakna mereka bertakbir bersama Ibn Umar RA, yakni secara serentak dan seiring, seperti yang ditunjukkan dalam riwayat al-Baihaqi: تكبيرا واحدا "dengan satu takbir yang sama."

Apakah Ibn Umar melarang mereka daripada bertakbir secara berjemaah? Atau adakah beliau berhenti bertakbir apabila mereka turut bertakbir bersamanya secara berjemaah? Sudah tentu tidak, bahkan beliau terus bertakbir, dan mereka juga terus bertakbir bersama-sama, sehinggakan Mina bergema dengan laungan takbir mereka.

Ini menunjukkan keharusan bertakbir sama ada secara berjemaah mahupun bersendirian. Inilah yang dinyatakan oleh para fuqaha dan ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Imam Malik rahimahullah berkata:

الأمر عندنا أن التكبير في أيام التشريق دبر الصلوات وأول ذلك تكبير الإمام والناس معه دبر صلاة الظهر من يوم النحر وآخر ذلك تكبير الإمام والناس معه دبر صلاة الصبح من آخر أيام التشريق ثم يقطع التكبير

"Amalan yang kami dapati (berlaku di Madinah) ialah bertakbir pada hari-hari Tasyriq di selepas solat, bermula dengan takbir imam dan orang ramai bersamanya selepas solat Zuhur pada Hari Nahar (10 Zulhijjah), dan berakhir dengan takbir imam dan orang ramai bersamanya selepas solat Subuh pada akhir hari Tasyriq. Kemudian takbir dihentikan."

Imam al-Syafi’i berkata dalam kitab al-Umm:

وأحب إظهار التكبير جماعة وفرادى في ليلة الفطر وليلة النحر مقيمين وسفرا في منازلهم ومساجدهم وأسواقهم ويغدون إذا صلوا الصبح ليأخذوا مجالسهم وينتظرون الصلاة ويكبرون بعد الغدو حتى يخرج الإمام إلى الصلاة.

"Aku suka agar takbir dizahirkan secara berjemaah dan bersendirian pada malam hari raya Fitri dan malam Hari Nahar, sama ada ketika bermukim atau dalam perjalanan, di rumah, di masjid atau di pasar. Mereka pergi ke tempat solat setelah solat Subuh, duduk menunggu solat dan bertakbir hingga keluar imam untuk solat."

Beliau juga berkata:

يكبر الناس في الفطر، حين تغيب الشمس ليلة الفطر، فرادى وجماعة، في كل حال حتى يخرج الإمام لصلاة العيد، ثم يقطعون التكبير


"Orang ramai bertakbir pada malam hari raya Fitri selepas terbenam matahari, sama ada secara individu atau berjemaah dan dalam segala keadaan sehingga imam keluar untuk solat hari raya, kemudian mereka menghentikan takbir."

Semua ini adalah nas-nas yang jelas daripada para tokoh besar ulama mengenai keharusan bertakbir secara bersendirian atau berjemaah.

Oleh itu, tidak sepatutnya ada sebarang kecaman terhadap orang yang bertakbir sama ada secara berjemaah atau bersendirian, kerana dalam hal ini terdapat keluasan, dan sepatutnya kita menerima apa yang telah diberi keluasan oleh para Imam yang membawa petunjuk.


Cetak  
Wallahu a'lam