SDI 1768: Kisah Penukaran Arah Kiblat dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram

Soalan:

Boleh ustaz terangkan sedikit tentang kisah perpindahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjid al-Haram di Mekah? Bagaimana para sahabat bergerak mengubah kiblat mereka ketika menunaikans solat?

Jawapan:

Asal-usul kisah penukaran arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram sabit dalam al-Quran, dan ia juga telah diriwayatkan dalam sunnah Nabi SAW.

Firman Allah SWT:

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (142) وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ (143) قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

"Orang-orang yang kurang akal di kalangan manusia akan berkata: 'Apa yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka dahulu menghadapinya?' Katakanlah: 'Timur dan barat kepunyaan Allah; Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.' Dan demikian (sebagaimana Kami telah memalingkan kamu dari Baitulmaqdis ke Kaabah), Kami jadikan kamu umat pertengahan agar kamu menjadi saksi ke atas manusia dan Rasul pula menjadi saksi ke atas kamu. Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu menghadapinya dahulu melainkan untuk Kami mengetahui siapa yang mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling ke belakang. Sesungguhnya perkara itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia. Kami sering melihat wajahmu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu redai. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya. Sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab memang mengetahui bahawa perintah itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang mereka lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 142–144)

Hadis-hadis Mengenai Penukaran Kiblat

Dalam Sahih al-Bukhari (41), daripada al-Bara’ bin Azib:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَوَّلَ مَا قَدِمَ المَدِينَةَ نَزَلَ عَلَى أَجْدَادِهِ، أَوْ قَالَ أَخْوَالِهِ مِنَ الأَنْصَارِ، وَأَنَّهُ صَلَّى قِبَلَ بَيْتِ المَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ شَهْرًا، أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا، وَكَانَ يُعْجِبُهُ أَنْ تَكُونَ قِبْلَتُهُ قِبَلَ البَيْتِ، وَأَنَّهُ صَلَّى أَوَّلَ صَلاَةٍ صَلَّاهَا صَلاَةَ العَصْرِ، وَصَلَّى مَعَهُ قَوْمٌ، فَخَرَجَ رَجُلٌ مِمَّنْ صَلَّى مَعَهُ، فَمَرَّ عَلَى أَهْلِ مَسْجِدٍ وَهُمْ رَاكِعُونَ، فَقَالَ: أَشْهَدُ بِاللَّهِ لَقَدْ صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ مَكَّةَ، فَدَارُوا كَمَا هُمْ قِبَلَ البَيْتِ، وَكَانَتِ اليَهُودُ قَدْ أَعْجَبَهُمْ إِذْ كَانَ يُصَلِّي قِبَلَ بَيْتِ المَقْدِسِ، وَأَهْلُ الكِتَابِ، فَلَمَّا وَلَّى وَجْهَهُ قِبَلَ البَيْتِ، أَنْكَرُوا ذَلِكَ

"Sesungguhnya Nabi SAW apabila pertama kali sampai ke Madinah, baginda tinggal bersama kaum kerabatnya sebelah ibu baginda dari kalangan Ansar. Dan baginda solat menghadap Baitulmaqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Baginda menyukai sekiranya kiblat adalah ke arah Kaabah. Maka solat pertama yang baginda kerjakan dengan menghadap ke Kaabah adalah solat Asar. Solat bersama baginda juga ketika itu sekumpulan kaum muslimin. Kemudian salah seorang daripada mereka keluar dan lalu di sebuah masjid ketika jemaahnya sedang rukuk menunaikan solat, lalu lelaki itu berkata: 'Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku telah solat bersama Rasulullah SAW menghadap ke arah Kaabah.' Maka jemaah masjid yang sedang solat itu pun berpusing menghadap ke arah Kaabah. Kaum Yahudi dan Ahli Kitab sebelum itu suka apabila Nabi SAW solat menghadap Baitulmaqdis, tetapi apabila baginda berpaling ke arah Kaabah, mereka mengingkarinya."

Dalam Sahih Muslim (527), daripada Anas RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَنَزَلَتْ: (قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ) البقرة/ 144، فَمَرَّ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ وَهُمْ رُكُوعٌ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ، وَقَدْ صَلَّوْا رَكْعَةً، فَنَادَى: أَلَا إِنَّ الْقِبْلَةَ قَدْ حُوِّلَتْ، فَمَالُوا كَمَا هُمْ نَحْوَ الْقِبْلَةِ

"Sesungguhnya Rasulullah SAW dahulu solat menghadap ke arah Baitulmaqdis. Lalu turunlah ayat: 'Sesungguhnya Kami melihat wajahmu sering menengadah ke langit, kerana itu kami palingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Maka hadapkanlah wajahmu kea rah masjidil haram.” (al-Baqarah: 144). Seorang lelaki daripada Bani Salamah melalui berhampiran kaumnya yang sedang rukuk dalam solat Subuh dan mereka telah selesai satu rakaat, lalu lelaki itu berseru: 'Ketahuilah bahawa kiblat telah dipindahkan!' Maka mereka pun berpusing ke arah kiblat baharu."

Dalam Sahih Muslim (526), daripada Ibn Umar RA:

بَيْنَمَا النَّاسُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ بِقُبَاءٍ إِذْ جَاءَهُمْ آتٍ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِ اُنْزِلَ عَلَيْهِ اللَّيْلَةَ ، وَقَدْ أُمِرَ أَنْ يَسْتَقْبِلَ الْكَعْبَةَ فَاسْتَقْبِلُوهَا ، وَكَانَتْ وُجُوهُهُمْ إِلَى الشَّامِ ، فَاسْتَدَارُوا إِلَى الْكَعْبَةِ

"Ketika orang ramai sedang solat Subuh di Quba’, datanglah seorang lelaki dan berkata: 'Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menerima wahyu malam tadi, dan telah diperintahkan untuk menghadap ke arah Kaabah, maka hadapkanlah wajah kamu semua ke arahnya.' Ketika itu wajah jemaah masjid menghadap ke Syam, lalu mereka pun berpusing menghadap ke Kaabah."

Cara para sahabat RA Berpaling Arah Ketika Solat

Cara para sahabat RA berpaling arah dalam solat apabila mereka mengetahui arah kiblat telah ditukar adalah dengan berpusing bersama imam mereka dalam bentuk setengah bulatan. Maka imam berada di bahagian belakang masjid yang menghadap ke arah Kaabah, jemaah lelaki berdiri di belakang imam, dan wanita-wanita pula berada di tempat asal lelaki.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah:

وَوَقَعَ بَيَانُ كَيْفِيَّة التَّحَوُّل فِي حَدِيث ثُوَيْلَة بِنْت أَسْلَمَ عِنْد اِبْن أَبِي حَاتِم، وَقَدْ ذَكَرْت بَعْضه قَرِيبًا وَقَالَتْ فِيهِ: "فَتَحَوَّلَ النِّسَاء مَكَان الرِّجَال وَالرِّجَال مَكَان النِّسَاء، فَصَلَّيْنَا السَّجْدَتَيْنِ الْبَاقِيَتَيْنِ إِلَى الْبَيْت الْحَرَام، "قُلْت: وَتَصْوِيره أَنَّ الْإِمَام تَحَوَّلَ مِنْ مَكَانه فِي مُقَدَّم الْمَسْجِد إِلَى مُؤَخَّر الْمَسْجِد; لِأَنَّ مَنْ اِسْتَقْبَلَ الْكَعْبَة اِسْتَدْبَرَ بَيْت الْمَقْدِس، وَهُوَ لَوْ دَارَ كَمَا هُوَ فِي مَكَانه لَمْ يَكُنْ خَلْفه مَكَان يَسَع الصُّفُوف، وَلَمَّا تَحَوَّلَ الْإِمَام تَحَوَّلَتْ الرِّجَال حَتَّى صَارُوا خَلْفه، وَتَحَوَّلَتْ النِّسَاء حَتَّى صِرْنَ خَلْف الرِّجَال، وَهَذَا يَسْتَدْعِي عَمَلًا كَثِيرًا فِي الصَّلَاة، فَيُحْتَمَل أَنْ يَكُون ذَلِكَ وَقَعَ قَبْل تَحْرِيم الْعَمَل الْكَثِير، كَمَا كَانَ قَبْل تَحْرِيم الْكَلَام، وَيُحْتَمَل أَنْ يَكُون اُغْتُفِرَ الْعَمَل الْمَذْكُور مِنْ أَجْل الْمَصْلَحَة الْمَذْكُورَة، أَوْ لَمْ تَتَوَالَ الْخُطَى عِنْد التَّحْوِيل بَلْ وَقَعَتْ مُفَرَّقَة، وَاللَّهُ أَعْلَم

"Penjelasan tentang cara penukaran kiblat disebut dalam hadis Thuwaylah binti Aslam, diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim. Dia berkata: 'Lalu wanita-wanita berpindah ke tempat lelaki, dan lelaki ke tempat wanita, lalu kami menyempurnakan dua sujud terakhir (rakat terakhir) dengan menghadap ke arah Kaabah.' Saya (Ibn Hajar) berkata: “Gambarannya  ialah imam berpindah dari bahagian depan masjid bergerak ke bahagian belakang kerana sesiapa yang menghadap Kaabah pastinya membelakangi Baitulmaqdis. Jika dia hanya berpusing di tempatnya, tidak cukup ruang untuk saf berada di belakangnya. Maka apabila imam berpindah, jemaah lelaki pula berpindah ke belakang imam. Setelah itu jemaah wanita pula ke bahagian belakang jemaah lelaki. Ini memerlukan banyak pergerakan dalam solat. Kemungkinan hal itu berlaku sebelum ada larangan pergerakan yang banyak dalam solat, sebagaimana di peringkat awal tiada larangan bercakap dalam solat. Atau mungkin juga pergerakan tersebut diberi kemaafan kerana ada kemaslahatan yang dinyatakan, atau langkah-langkah mereka itu tidak berturut-turut, sebaliknya dilakukan secara terpisah-pisah. Wallahu a‘lam.” (Fath al-Bari, 1/506–507. Lihat juga: Tafsir Ibn Kathir (1/167, 470)

 


Cetak  
Wallahu a'lam