Soalan:
Mohon ustaz menceritakan sedikit tentang masjidil Aqsa dan siapakah yang membina Masjid al-Aqsa?
Jawapan:
Masjid al-Aqsa merupakan kiblat para nabi dan kiblat pertama bagi umat Islam pengikut nabi-pani terdahulu, serta ia adalah salah satu daripada tiga masjid utama yang dianjurkan untuk diziarahi, seperti yang disebut dalam hadis:
لا تُشَدُّ الرِّحالُ إلَّا إلى ثلاثةِ مساجدٍ: المسجدُ الحرامُ، و مسجدي هذا، والمسجدُ الأقصى
“Tidak dianjurkan bersusah-payah melakukan perjalanan (untuk tujuan ibadah) kecuali ke tiga masjid: Masjid al-Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi), dan Masjid al-Aqsa." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam tafsir ayat:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكاً وَهُدىً لِلْعَالَمِينَ
“Sesungguhnya rumah yang pertama kali dibina untuk manusia (beribadah) ialah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.” (Surah Ali ‘Imran: 96)
Imam al-Qurtubi dan ulama lain menjelaskan:
[1] Rumah pertama yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah rumah pertama yang didirikan untuk beribadah iaitulah Masjid al-Haram. Selepasnya dibina pula Masjid al-Aqsa dengan jarak masa empat puluh tahun, seperti disebut dalam hadis sahih riwayat Muslim daripada Abu Zar RA:
سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ عَنْ أَوَّلِ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الْأَرْضِ قَالَ: (الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ). قُلْتُ: ثُمَّ أَيَّ؟ قَالَ: (الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى). قُلْتُ: كَمْ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: (أَرْبَعُونَ عَامًا ثُمَّ الْأَرْضُ لَكَ مَسْجِدٌ فَحَيْثُمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ فَصَلِّ.
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, masjid manakah yang dibina pertama kali di atas bumi?" Baginda menjawab: "Masjid al-Haram." Aku bertanya lagi: "Kemudian masjid mana?" Baginda menjawab: "Masjid al-Aqsa." Aku bertanya: "Berapa jarak masa antara keduanya?" Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. Kemudian baginda bersabda:
"Dan bumi ini adalah masjid bagimu, maka di mana sahaja kamu berada apabila tiba waktu solat, maka solatlah di situ." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
[2] Ada pandangan yang mengatakan, orang yang membina Masjid al-Aqsa adalah Nabi Sulaiman AS. Namun pandangan ini lemah, disebabkan tidak mungkin jarak masa antara Nabi Ibrahim dengan Nabi Sulaiman hanya selama 40 tahun, sebaliknya jarak antara kedua-dua nabi ini sangat jauh berbeza.
[3] Penyelesaian yang disebut oleh ulama ialah, Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman AS sebenarnya, bukanlah yang pertama membina dua masjid tersebut. Sebaliknya kedua mereka hanya membina semula atau memperbaharui binaan sedia ada. Pembinaan asalnya dilakukan oleh Nabi Adam AS.
[4] Ada juga pendapat mengatakan oleh para malaikat. Allah SWT berfirman:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan tapak-tapak binaan Kaabah bersama Ismail, setelah itu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, terimalah amalan daripada kami, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 127)
Pandangan ini mengatakan ayat Ini menunjukkan tapak Kaabah sudah wujud sebelum Ibrahim, dan beliau hanya meninggikan semula tapaknya.
Kesimpulan: – Masjid al-Aqsa dibina selepas Masjid al-Haram dengan jarak empat puluh tahun. Kesemua pandangan yang disebut oleh para ulama memiliki kebarangkaliannya. Mungkin pembina asalnya mungkin dilakukan oleh Nabi Adam AS, atau mungkn juga oleh para malaikat. Manakala Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman hanyalah pembina semula di atas tapak binaan terdahulu.