Peristiwa Perubahan Kiblat

Sirah dan Kisah Umat Terdahulu Jumlah paparan: 50

Sepanjang tempoh di Makkah, umat Islam menghadap Baitul Maqdis ketika menunaikan solat, sebagai mematuhi perintah Allah SWT. Dalam masa yang sama, dalam hati Rasulullah SAW tersimpan keinginan yang besar, untuk menghadap ke Kaabah, kerana Kaabah adalah kiblat Nabi Ibrahim AS, bapa kepada para nabi, dan Rasulullah adalah orang yang paling berhak terhadap untuk sama dengan baginda. Selain itu, Kaabah juga merupakan rumah ibadah pertama yang dibina untuk manusia.

Rasulullah SAW sangat ingin agar umat Islam mempunyai keunikan tersendiri dalam ibadahnya berbeza daripada umat-umat lain yang telah menyeleweng dan mengubah ajaran asal. Hal ini disokong oleh kata-kata al-Bara’ bin ‘Azib RA:

وكان يحب أن يوجّه إلى الكعبة

 “Baginda suka untuk menghadap ke arah Kaabah.” (Riwayat al-Bukhari)

Namun begitu, Rasulullah SAW sebagai hamba kepada Allah, tidak sekali-kali menyanggah perintah Tuhannya. Baginda ketika berada di Mekah seringkali menggabungkan antara keinginannya menghadap ke Kaabah dan kepatuhannya terhadap perintah menghadap ke Baitul Maqdis, dengan menghadap ke arah utara Mekah sambil Kaabah berada di hadapan Baginda. Ini berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يصلي وهو بمكة نحو بيت المقدس والكعبة بين يديه

“Rasulullah SAW menunaikan solat di Mekah menghadap Baitul Maqdis sedangkan Kaabah berada di hadapan Baginda.” (Riwayat Ahmad)

Setelah berhijrah ke Madinah, masjid-masjid dibina untuk didirikan solat, azan pula disyariatkan. Rasulullah SAW masih dengan keinginan baginda untuk menunaikan solat dengan menghadap ke arah Kaabah di Mekah. Baginda berasa sedih kerana tidak lagi dapat menghadap kedua-dua kiblat seperti yang dilakukan ketika baginda berada di Mekah. Dalam keadaan tunduk mematuhi perintah Allah, Baginda sering berdoa dan mengharapkan agar doanya diperkenankan. Al-Quran menggambarkan keadaan hati Rasulullah SAW ini, dengan firman Allah SWT:

قد نرى تقلب وجهك في السماء

“Kami melihat wajahmu sering menengadah ke langit...” (Surah al-Baqarah: 144)

Baginda memohon agar Allah SWT memperkenankan keinginan baginda menjadikan kiblat solat umat Islam menghadap ke arah Kaabah di Mekah. Pada pertengahan bulan Syaaban, selepas 16 bulan solat menghadap Baitul Maqdis, Jibril AS datang membawa wahyu menggembirakan Rasulullah SAW dengan perintah menghadap kea rah Kaabah. Firman Allah SWT:

فلنولينك قبلة ترضاها فول وجهك شطر المسجد الحرام وحيثما كنتم فولوا وجوهكم شطره

“Maka Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau sukai. Palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah wajahmu ke arahnya.” (Surah al-Baqarah: 144)

Sahabat mulia al-Bara’ bin ‘Azib RA menceritakan:

أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان أول ما قدم المدينة نزل على أخواله من الأنصار، وأنه صلى قبل بيت المقدس ستة عشر شهرا أو سبعة عشر شهرا، وكان يعجبه أن تكون قبلته قِبَل البيت، وأنه صلّى - أول صلاة صلاها - صلاة العصر، وصلى معه قوم، فخرج رجل ممن صلى معه فمر على أهل مسجد وهم راكعون، فقال: أشهد بالله لقد صليت مع رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قِبَل مكة فداروا كما هم قِبَل البيت

“Bahawa ketika Rasulullah SAW mula sampai di Madinah, Baginda tinggal di rumah bapa saudara baginda sebelah ibu (yakni dari kalangan Ansar). Rasulullah SAW solat menghadap Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Baginda suka jika dapat menghadap ke Kaabah. Solat pertama yang Baginda dirikan menghadap Kaabah adalah solat Asar. Beberapa orang turut bersolat bersama Baginda ketika itu. Seorang lelaki yang solat bersama Baginda telah pergi ke sebuah masjid di mana orang ramai yang solat ketika itu sedang rukuk, lalu lelali itu berkata: “Aku bersaksi kepada Allah bahawa aku telah solat bersama Rasulullah SAW menghadap ke arah Kaabah.” Maka mereka pun berpusing ke arah Kaabah semasa sedang bersolat. (Riwayat al-Bukhari)

Walaupun berita perubahan kiblat itu tersebut tersebar, namun penduduk Quba’ hanya mengetahui tentang perubahan kiblat pada waktu solat Subuh. Perkara itu berlaku apabila seorang lelaki datang kepada mereka dan berkata:

أنزل الله على النبي - صلى الله عليه وسلم - قرآنا أن يستقبل الكعبة فاستقبِلُوها

“Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi SAW supaya menghadap ke Kaabah, maka menghadaplah kalian ke arahnya.” (Riwayat al-Bukhari) Maka orang ramai yang sedang solat ketika itu pun berpaling ke arah Kaabah.

Disebabkan penetapan hukum yang baru ini (memansukhkan hukum yang lama) merupakan perkara baharu bagi umat Islam, sebagaimana kata Ibn ‘Abbas RA:

... فأول ما نسخ من القرآن القبلة

“Perkara pertama yang dinasakhkan (diubah) dalam al-Quran adalah kiblat.” (Riwayat al-Nasa’i), maka Allah SWT mengulangi perintah ini sebanyak tiga kali bagi tujuan mengukuhkan dan menetapkannya, iaitu:

  1. Firman Allah SWT: فول وجهك شطر المسجد الحرام وحيثما كنتم فولوا وجوهكم شطره “Palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram...” (Surah al-Baqarah: 144)
  2. Firman Allah SWT: ومن حيث خرجت فول وجهك شطر المسجد الحرام وإنه للحق من ربك وما الله بغافل عما تعملون “Dan dari mana sahaja engkau keluar, palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Sesungguhnya itu adalah kebenaran dari Tuhanmu.” (Surah al-Baqarah: 149)
  3. Firman Allah SWT: ومن حيث خرجت فول وجهك شطر المسجد الحرام وحيثما كنتم فولوا وجوهكم شطره لئلا يكون للناس عليكم حجة إلا الذين ظلموا منهم “Dan dari mana sahaja engkau keluar, palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah wajahmu ke arahnya, supaya tidak ada hujah bagi manusia terhadap kamu...” (Surah al-Baqarah: 150)

Tanggapan orang ramai terhadap peristiwa perpindahan kiblat ini berbeza-beza. Golongan mukmin tidak ragu-ragu langsung untuk mematuhi perintah itu, dan Allah memuji mereka serta menjelaskan bahawa perubahan kiblat ini adalah satu ujian untuk membezakan antara mereka yang benar-benar mengikuti Rasul dan mereka yang berpaling daripadanya. Firman Allah SWT:

وما جعلنا القبلة التي كنت عليها إلا لنعلم من يتبع الرسول ممن ينقلب على عقبيه وإن كانت لكبيرة إلا على الذين هدى الله

“Kami tidak menjadikan kiblat yang engkau dahulu menghadapinya melainkan untuk mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling ke belakang...” (Surah al-Baqarah: 143)

Sebahagian orang Islam berasa bimbang terhadap nasib saudara-saudara mereka yang telah meninggal dunia sebelum perubahan kiblat, kerana mereka tidak sempat menunaikan solat menghadap Kaabah. Mereka berkata:

يا رسول الله كيف بإخواننا الذين ماتوا وهم يصلون إلى بيت المقدس

“Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan saudara-saudara kami yang telah meninggal dunia dan mereka bersolat menghadap Baitul Maqdis?” Maka Allah menurunkan firman-Nya:

وما كان الله ليضيع إيمانكم


“Dan Allah tidak akan mensia-siakan iman (solat) kamu.” (Surah al-Baqarah: 143) Riwayat al-Tirmizi dan asalnya dalam al-Sahih.

Manakala orang Yahudi pula mengejek dan memperlekehkan perubahan kiblat itu. Mereka mengambil kesempatan untuk menyebarkan keraguan dan syak wasangka terhadap syariat Islam. Allah telah pun memberi amaran awal kepada umat Islam tentang reaksi golongan ini. Firman-Nya:

سيقول السفهاء من الناس ما ولاهم عن قبلتهم التي كانوا عليها قل لله المشرق والمغرب يهدي من يشاء إلى صراط مستقيم

“Orang-orang yang dungu daripada kalangan manusia (Orang Yahudi) akan berkata: Apa yang memalingkan mereka daripada kiblat yang mereka dahulu menghadapnya? Katakanlah: Kepunyaan Allah timur dan barat. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 142)

Akhirnya, umat Islam memperoleh kelebihan menghadap kedua-dua kiblat. Mereka berjaya melepasi ujian Ilahi ini dan memperoleh pengiktirafan daripada Allah:

وكذلك جعلناكم أمة وسطا لتكونوا شهداء على الناس ويكون الرسول عليكم شهيدا

“Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pertengahan (terbaik dan terpilih) agar kamu menjadi saksi ke atas manusia dan Rasul menjadi saksi ke atas kamu.” (Surah al-Baqarah: 143)

Perubahan kiblat ini juga menandakan bermulanya kejatuhan syirik dan tegaknya panji tauhid. Kaabah kekal sebagai kiblat umat Islam sehingga hari kiamat.

Cetak
Wallahu a'lam