Soalan:
Berapakah jumlah tentera Islam dalam peperangan Badar?
Jawapan:
Ahli sirah dan tafsir sepakat bahawa bilangan para sahabat yang menyertai Perang Badar – semoga Allah meredai mereka – adalah seramai tiga ratus bidh‘ah ‘Asyar. Di mana perkataan "bidh‘ah" (بضعة) menurut ahli bahasa membawa maksud bilangan antara tiga hingga sembilan.
Al-Imam al-Bukhari 4/1457 dan lain-lain meriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib (البراء بن عازب) radhiyallahu ‘anhuma, yang berkata:
كُنَّا أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ ﷺ، نَتَحَدَّثُ: أَنَّ عِدَّةَ أَصْحَابِ بَدْرٍ عَلَى عِدَّةِ أَصْحَابِ طَالُوتَ الَّذِينَ جَاوَزُوا مَعَهُ النَّهَرَ، وَلَمْ يُجَاوزْ مَعَهُ إلا مُؤْمِنٌ بِضْعَةَ عَشَرَ وَثَلاثَ مِائَةٍ
"Kami, para sahabat Muhammad SAW, sering berbicara bahawa bilangan sahabat dalam Perang Badar adalah seperti bilangan pengikut Thalut yang menyeberangi sungai bersamanya, dan tiada yang menyeberangi bersamanya melainkan orang beriman seramai tiga ratus bidh‘ah ‘asyar orang."
Dalam riwayat at-Tirmizi pula disebut: ثلاثمائة وثلاثة عشر رجلا "Tiga ratus tiga belas orang lelaki." Terdapat juga beberapa riwayat lain yang menyebut jumlah yang berbeza: ada yang mengatakan empat belas, ada yang mengatakan lima belas, tujuh belas, dan juga sembilan belas.
Dalam satu riwayat oleh Ibn Jarir disebut bahawa mereka berjumlah tiga ratus enam orang. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menghimpunkan semua riwayat ini dan menyimpulkan bahawa jumlah sebenar yang hadir dalam pertempuran adalah lima atau enam orang lebih daripada tiga ratu (305 atau 306 orang), seperti yang dinyatakan oleh Ibn Jarir. Ini kerana sebahagian yang disebut tidak turut serta dalam pertempuran secara langsung. Contohnya Rasulullah SAW sendiri tidak dihitung dalam bilangan tersebut.
Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat lapan orang yang dikira sebagai ahli Badar walaupun tidak menyertai pertempuran, kerana Rasulullah SAW memberi mereka bahagian harta rampasan (ghanimah) disebabkan mereka menjalankan tugas-tugas penting yang diarahkan oleh baginda. Antaranya ialah: ‘Uthman bin ‘Affan, Talhah bin ‘Ubaidillah, Sa‘id bin Zaid, Abu Lubabah, dan ‘Asim bin ‘Adi (عثمان بن عفان، وطلحة بن عبيد الله، وسعيد بن زيد، وأبو لبابة، وعاصم بن عدي). Ada juga yang dihitung bersama mereka meskipun tidak diizinkan menyertai pertempuran kerana terlalu muda, seperti al-Barra’ bin ‘Azib, Ibn ‘Umar dan Anas bin Malik.
`Justeru, perbezaan bilangan ini hanyalah dari segi lafaz dan cara penghitungan. Bilangan yang benar-benar menyertai pertempuran secara langsung ialah tiga ratus enam orang, manakala selebihnya berada dalam tugasan yang memberi manfaat kepada umat Islam, dan mereka tetap diberi ganjaran serta bahagian harta rampasan.