Kisah Sajah (سجاح) binti al-Harith dan Bani Tamim, juga Perkahwinannya dengan Musailimah al-Kazzab

Sirah dan Kisah Umat Terdahulu Jumlah paparan: 362

Tahun Hijriah: 11 H

Tahun Masihi: 632

Butiran Peristiwa:

Pada zaman kemurtadan selepas kewafatan Rasulullah SAW, Bani Tamim berpecah kepada tiga golongan:

  1. Golongan yang murtad dan enggan membayar zakat.
  2. Golongan yang menghantar zakat kepada Abu Bakar As-Siddiq.
  3. Golongan yang menunggu dan melihat apa tindakan yang akan dilakukan oleh Abu Bakr as-Siddiq.

Ketika keadaan mereka demikian, seorang wanita bernama Sajah binti Al-Harith bin Suwaid bin Uqfan al-Taghlibiyyah (سَجاحُ بنتُ الحارِثِ بنِ سُوَيدِ بنِ عُقْفَانَ التَّغلِبيَّةُ) muncul dari wilayah Jazirah. Sajah, seorang penganut Nasrani dari kalangan orang Arab. Dia juga mendakwa dirinya sebagai nabi dan datang dengan pasukan tenteranya yang terdiri daripada kaumnya dan penyokong lain. Dia berhasrat menyerang Abu Bakar As-Siddiq di Madinah. Dalam perjalanan, Sajah tiba di wilayah Bani Tamim dan mengajak mereka menyokongnya. Sebahagian besar Bani Tamim menerima ajakannya tersebut. Dia bersama tenteranya menuju ke Yamamah untuk mengambilnya dari Musailimah bin Habib Al-Kazzab (مُسَيلِمةَ بنِ حَبيبٍ الكَذَّابِ) yang juga mendakwa dirinya nabi.

Ketika Musailamah mendengar tentang perjalanan Sajah bersama tentera ke arahnya, dia bimbangkan ancaman yang dibawa Sajah ke wilayahnya. Hal ini kerana dia sibuk memerangi Thumamah bin Uthal (ثُمَامَةَ بْنِ أَثَالٍ), yang dibantu oleh Ikrimah bin Abu Jahl dengan tentera Muslimin. Mereka sedang berada di sebahagian kawasan dalam wilayahnya, Yamamah, menunggu ketibaan Khalid bin Al-Walid.

Musailimah mengutus utusan kepada Sajah untuk mendapatkan perdamaian dan memberi jaminan bahawa dia akan menyerahkan kepada Sajah separuh dari tanah yang dahulunya dimiliki oleh Quraisy, jika Sajah tidak memeranginya.

Musailamah bersama 40 orang pengikutnya bergerak untuk bertemu Sajah. Mereka berkumpul di dalam khemah. Ketika mereka berdua tanpa ada orang lain, Musailamah menawarkan separuh tanah Yamamah kepada Sajah, dan Sajah menerima tawaran tersebut. Musailamah berkata:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ سَمِعْ، وَأَطْمَعَهُ بِالْخَيْرِ إِذَا طَمِعْ، وَلَا يَزَالُ أَمْرُهُ فِي كُلِّ مَا سَرَّ نَفْسَهُ مُجْتَمَعْ، رَآكُمْ رَبُّكُمْ فَحَيَّاكُمْ وَمِنْ وَحْشَةٍ أَخَلَّاكُمْ، وَيَوْمَ دِينِهِ أَنْجَاكُمْ، فَأَحْيَاكُمْ عَلَيْنَا مِنْ صَلَوَاتِ مَعْشَرٍ أَبْرَارْ، لَا أَشْقِيَاءَ وَلَا فُجَّارْ، يَقُومُونَ اللَّيْلَ وَيَصُومُونَ النَّهَارْ، لِرَبِّكُمُ الْكُبَّارْ، رَبِّ الْغُيُومِ وَالْأَمْطَارْ

"Allah mendengar sesiapa yang mendengar, dan memberi harapan kepada sesiapa yang berharap untuk kebaikan. Urusannya sentiasa dalam hal-hal yang menggembirakan dirinya. Tuhanmu melihat kamu dan memberkati kamu, menghilangkan kesunyian daripada kamu, dan menyelamatkan kamu pada Hari Agamanya. Dia telah menghidupkan kamu dengan doa golongan yang baik, bukan golongan celaka atau durhaka, yang mendirikan malam dan berpuasa di siang hari, demi Tuhanmu Yang Maha Besar, Tuhan awan dan hujan."

Musailamah menyambung:

لَمَّا رَأَيْتُ وُجُوهَهُمْ حَسُنَتْ، وَأَبْشَارَهُمْ صَفَتْ، وَأَيْدِيَهُمْ طَفُلَتْ، قُلْتُ لَهُمْ: لَا النِّسَاءَ تَأْتُونَ، وَلَا الْخَمْرَ تَشْرَبُونَ، وَلَكِنَّكُمْ مَعْشَرٌ أَبْرَارٌ تَصُومُونَ، فَسُبْحَانَ اللَّهِ إِذَا جَاءَتِ الْحَيَاةُ كَيْفَ تَحْيَوْنَ، وَإِلَى مَلِكِ السَّمَاءِ كَيْفَ تَرْقَوْنَ، فَلَوْ أَنَّهَا حَبَّةُ خَرْدَلَةٍ لَقَامَ عَلَيْهَا شَهِيدٌ يَعْلَمُ مَا فِي الصُّدُورِ، وَلَأَكْثَرَ النَّاسُ فِيهَا الثُّبُورَ

"Apabila aku melihat wajah mereka yang cantik, kulit mereka yang berseri, dan tangan mereka yang bersih, aku berkata kepada mereka: “Kamu tidak datang bersama wanita, dan kamu tidak meminum arak, tetapi kamu adalah sekumpulan orang yang baik yang berpuasa. Maha Suci Allah apabila kehidupan datang, bagaimana kamu hidup, dan bagaimana kamu naik kepada Tuhan di langit. Seandainya ia adalah sebesar biji sawi, pasti ada saksi di atasnya yang mengetahui apa yang ada dalam hati, dan kebanyakan orang akan mengalami kerugian di dalamnya.”

Antara ajaran yang dibawa oleh Musailimah al-Kazzab ialah bagi pengikut-pengikutnya bahawa lelaki bujang boleh berkahwin, dan apabila dia mempunyai anak lelaki, maka haram baginya untuk berkahwin dengan wanita sehingga anak lelaki itu meninggal dunia. Setelah itu, barulah dia dibenarkan berkahwin semula sehingga dia mendapat anak lelaki lagi. Inilah yang dia cadangkan, laknat Allah ke atasnya, daripada dirinya sendiri.

Ketika Musailamah bersendirian bersama Sajah, dia bertanya: “Apakah wahyu yang telah diturunkan kepada kamu?” Jawab Sajah:

 وَهَلْ يَكُونُ النِّسَاءُ يَبْتَدِئْنَ؟ بَلْ أَنْتَ مَاذَا أُوحِيَ إِلَيْكَ؟

"Apakah wanita-wanita itu yang memulakan (semua ini)? Sebenarnya, apa yang diwahyukan kepadamu?"

Jawab Musailimah:

أَلَمْ تَرَ إِلَى رَبِّكَ كَيْفَ فَعَلَ بِالْحُبْلَى، أَخْرَجَ مِنْهَا نَسَمَةً تَسْعَى، مِنْ بَيْنِ صَفَاقٍ وَحَشَا.

"Apakah kamu tidak melihat bagaimana Tuhanmu melakukan pada wanita yang hamil? Dia mengeluarkan darinya nyawa yang bergerak, dari antara dua lapisan yang lembut dan keras.” Kata Sajah: “Apa yang terjadi?” Jawab Musailimah:

إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ النِّسَاءَ أَفْرَاجَا، وَجَعَلَ الرِّجَالَ لَهُنَّ أَزْوَاجًا، فَنُولِجُ فِيهِنَّ قُعْسًا إِيلَاجًا، ثُمَّ نُخْرِجُهَا إِذَا نَشَاءُ إِخْرَاجًا، فَيُنْتِجْنَ لَنَا سِخَالًا إِنْتَاجًا

“Sesungguhnya Allah menciptakan wanita sebagai memiliki faraj-faraj, dan Dia menjadikan lelaki sebagai pasangan bagi mereka. Kami memasuk dan mengeluarkan sesuatu anggota kami ke dalam mereka, kemudian Kami keluarkan jika Kami kehendaki, dan mereka (para wanita) menghasilkan bagi kami anak-anak yang tumbuh."

Kata Sajah: أَشْهَدُ أَنَّكَ نَبِيٌّ “Aku bersaksikan bahawa engkau adalah seorang nabi.” Kata Musailimah kepadanya:

هَلْ لَكِ أَنْ أَتَزَوَّجَكِ وَآكُلُ بِقَوْمِي وَقَوْمِكِ الْعَرَبَ؟

"Mahukah kamu aku menahwinimu, dan dengan kaumku dan kaummu kita akan menguasai bangsa Arab?" Sajah menjawab: "Ya."

Musailamah berkata:

أَلَا قُومِي إِلَى النَّيْكِ ... فَقَدْ هُيِّئَ لَكِ الْمَضْجَعْ

فَإِنْ شِئْتِ فَفِي الْبَيْتِ ... وَإِنْ شِئْتِ فَفِي الْمَخْدَعْ

وَإِنْ شِئْتِ سَلَقْنَاكِ ... وَإِنْ شِئْتِ عَلَى أَرْبَعْ

وَإِنْ شِئْتِ بِثُلْثَيْهِ ... وَإِنْ شِئْتِ بِهِ أَجْمَعْ

"Pergilah kepada tempat tidur, telah disediakan untukmu tempat peraduan. Jika kamu mahu, di dalam rumah, atau jika kamu mahu, di bilik peraduan. Jika kamu mahu, aku akan memanjat kamu, atau jika kamu mahu, aku akan mendekati kamu dari hadapan. Dan jika kamu mahu, dengan 1/3nya, atau jika kamu mahu, semuanya."

Sajah memilih semuanya. Kata Musailimah: بِذَلِكَ أُوحِيَ إِلَيَّ “demikian itulah diwahyukan kepadaku.” Sajah tinggal bersama Musailimah selama tiga hari. Selepas itu, Sajah kembali kepada kaumnya. Ketika kaumnya bertanya tentang mahar perkahwinannya, dia berkata: لَمْ يَصْدُقْنِي شَيْئًا "Dia tidak memberikan apa-apa kepadaku sebagai mahar." Kata kaumnya: إِنَّهُ قَبِيحٌ عَلَى مِثْلِكِ أَنْ تَتَزَوَّجَ بِغَيْرِ صَدَاقٍ “amat hina perkara itu (kahwin tanpa mahar) bagi seseorang sepertimu.” Lalu Sajah mengutus seseorang untuk bertanyakan maharnya kepada Musailimah. Jawab Musailimah: أَرْسِلِي إِلَيَّ مُؤَذِّنَكِ, "Hantarkan muazzinmu kepadaku." Sajah mengutus muazzinnya iaitulah Syabath bin Rab‘ie (شَبَثُ بْنُ رِبْعِيٍّ). Musailamah berkata kepada utusan itu: نَادِ فِي قَوْمِكَ “umumkan kepada kaummu:

إِنَّ مُسَيْلِمَةَ بْنَ حَبِيبٍ رَسُولَ اللَّهِ قَدْ وَضَعَ عَنْكُمْ صَلَاتَيْنِ مِمَّا أَتَاكُمْ بِهِ مُحَمَّدٌ يَعْنِي صَلَاةَ الْفَجْرَ وَصَلَاةَ الْعِشَاءِ الْآخِرَةِ

"Sesungguhnya Musailamah bin Habib, Rasul Allah, telah menggugurkan dua solat yang diwajibkan oleh Muhammad kepada kamu, iaitu solat Subuh dan solat Isya."

Dikatakan juga jawapan Musailimah juga dengan berkata:

إِنِّي وَضَعْتُ عَنْكُمْ مَا أَتَاكُمْ بِهِ مُحَمَّدٌ مِنَ الصَّلَوَاتِ، وَأَبَحْتُ فُرُوجَ الْمُؤْمِنَاتِ، وَشُرْبَ الْخَمْرِ فِي الْكَاسَاتِ - فَكَانَ هَذَا صَدَاقَهَا عَلَيْهِ

“Sesungguhnya aku gugurkan kewajipan seluruh solat dari kamu semua (yang diwajibkan oleh Muhammad SAW) dan aku halalkan untuk kamu semua kemaluan wanita-wanita beriman dan meminum arak (juga semua yang diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW).” Pada Musailimah, semua yang dihalalkannya ini adalah mahar perkahwinannya dengan Sajah. Laknat dari Allah ke atas kedua-dua mereka.

Kemudian Sajah kembali kepada kaumnya selepas menerima separuh hasil bumi Yamamah daripada Musailamah. Dia tinggal dalam kalangan kaumnya Bani Taghlib (بَنِي تَغْلِبَ) sehingga zaman pemerintahan Muawiyah, setelah itu mereka diusir dari al-Jazirah pada tahun Jamaah.

Cetak
Wallahu a'lam