Allah SWT mencipta langit dan bumi dalam enam hari. Para mufassir (ahli tafsir) berbeza pendapat mengenai tempoh enam hari ini. Sebahagian besar mereka berpendapat bahawa ia adalah seperti hari-hari kita. Manakala sebahagian ulama salaf berpendapat bahawa setiap hari itu bersamaan seribu tahun menurut pengiraan hari di dunia. Hari Jumaat, merupakan hari perhimpunan umat Islam, adalah hari terakhir daripada enam hari penciptaan tersebut.
Terdapat juga perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama mengenai makhluk pertama yang diciptakan oleh Allah SWT, apakah pena, arasy, atau kegelapan? Tetapi, kebanyakan mereka sepakat bahawa langit dan bumi dicipta selepas penciptaan pena dan arasy.
Beberapa ulama berpendapat bahawa bumi dicipta terlebih dahulu sebelum langit. Mereka menyandarkan pendapat ini kepada beberapa ayat, seperti firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
"Dialah yang menciptakan bagi kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju ke langit lalu menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu." (Al-Baqarah: 29).
Allah SWT menciptakan bumi dan menetapkan rezekinya, demikian juga penciptaan langit yang dihiasi dengan bintang-bintang dan planet-planet, serta dilindungi daripada syaitan yang jahat. Allah SWT meletakkan jarak 500 tahun antara langit dan bumi, dan jarak antara setiap langit dengan langit yang berikutnya juga 500 tahun. Setiap langit mempunyai ketebalan yang setara dengan jarak 500 tahun perjalanan juga.
Penciptaan Bumi
Para ulama juga membincangkan tentang penciptaan bumi, yang diciptakan lebih dahulu sebelum langit, yang pada asalnya suatu yang bercantum, kemudian dipisahkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
"Tidakkah orang-orang yang kafir itu mengetahui bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum (ratq), lalu Kami pisahkan keduanya (fatq)? Dan Kami jadikan daripada air segala sesuatu yang hidup. Maka mengapa mereka tidak beriman?" (Surah al-Anbiya': 30)