Kaabah adalah Rumah Allah yang suci dan kiblat bagi umat Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikannya sebagai tanda keesaan dan simbol pengibadatan kepada-Nya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
جعل الله الكعبة البيت الحرام قياما للناس
"Allah menjadikan Kaabah, Rumah Suci itu, sebagai tempat berdiri (urusan agama) bagi manusia." (Al-Maidah: 97).
Kaabah adalah rumah pertama yang didirikan untuk manusia beribadah kepada Allah yang Maha Tinggi. Allah juga berfirman:
إن أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا وهدى للعالمين
"Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat ibadah) manusia ialah (Baitullah) di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam." (Ali Imran: 96).
Kaabah yang mulia memiliki sejarah yang panjang dan telah melalui banyak peringkat. Sejarahnya bermula pada zaman Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail - 'alaihimassalam - ketika Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan Nabi Ibrahim untuk berada di Mekah bersama keluarganya. Pada waktu itu, Mekah adalah tanah tandus dan gersang.
Setelah mereka berada di Mekah dan Ismail mencapai usia dewasa, Allah mengizinkan mereka membina Kaabah dan meninggikan asasnya. Allah berfirman:
وإذ يرفع إبراهيم القواعد من البيت وإسماعيل ربنا تقبل منا
"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (setelah itu mereka berdoa): 'Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) daripada kami." (Al-Baqarah: 127).
Ismail - 'alaihis salam - membawa batu-batu, sementara Ibrahim membina. Binaan Kaabah semakin tinggi sehingga tangan Ibrahim tidak dapat mencapainya. Ketika itu, Ismail membawa sebuah batu supaya ayahnya dapat berdiri di atasnya bagi menyelesaikan pembinaan. Mereka berdua terus melakukannya sambil berdoa:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) daripada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah: 127), sehinggalah pembinaan Kaabah selesai dengan sempurna.
Kemudian, beberapa kabilah Arab seperti "Amaliq" (العماليق) dan "Jurhum" (جرهم) turut menetap di Mekah. Bangunan Kaabah beberapa kali mengalami keretakan akibat banjir besar yang berlaku dan faktor-faktor lain sehingga memberi kesan kepada strukturnya. Individu-individu dari kedua-dua kabilah ‘Amalik dan Jurhum mengambil tanggungjawab memperbaiki Kaabah setiap kali berlaku kerosakan dan memeliharanya.
Kaabah Di Bawah Kepimpinan Quraisy
Tahun demi tahun berlalu sehingga tiba masa kaum Quraisy menguasai dan memegang tampok kepimpinan Mekah. Lima tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad ﷺ, sekali lagi Kaabah dilanda banjir besar sehingga merobohkan sebahagian besar dari strukturnya. Pada masa itu, Kaabah dibina menggunakan susunan batu tanpa penguat untuk batu-batunya saling melekat seperti tanah liat, menjadikan Kaabah mudah terjejas disebabkan banjir yang sering melanda Mekah. Banjir ini melemahkan strukturnya, meretakkan dindingnya, dan hampir menyebabkan Kaabah runtuh. Oleh itu, kaum Quraisy memutuskan untuk membina semula Kaabah dengan struktur yang lebih kukuh dan mampu bertahan daripada banjir.
Ketika mereka berpakat untuk melaksanakan pembinaan Kaabah, Abu Wahb bin Amr (أبو وهب بن عمرو) memberi peringatan kepada mereka dengan katanya:
يا معشر قريش ، لاتدخلوا في بنائها من كسبكم إلا طيبا ، لايدخل فيها مهر بغي ، ولا بيع ربا ، ولا مظلمة أحد من الناس
"Wahai kaum Quraisy, jangan gunakan dalam pembinaan Kaabah dari hasil usaha kamu melainkan yang baik sahaja. Jangan masukkan perolehan daripada hasil pelacuran, riba, atau penindasan terhadap sesiapa pun."
Apabila tiba hari memulakan pemnbaikan binaan Kaabah, orang Quraish merasa takut untuk merobohkannya kerana bimbangkan kemurkaan Allah. Lalu, Al-Walid bin Al-Mughirah (الوليد بن المغيرة) berkata:
أنا أبدؤكم في هدمها، فأخذ المعول وبدأ بالهدم وهو يقول
"Aku akan memulakan perobohan." Dia pun mengambil mi’wal (peralatan binaan) dan mula meruntuhkan Kaabah sambil berkata:
اللهم لم نزغ ، ولا نريد إلا الخير
"Ya Allah, kami tidak berniat jahat, kami hanya inginkan kebaikan."
Al-Walid mula memecahkan di bahagian dua sudut atau rukun Kaabah, iaitulah rukun Hajar Aswad dan Rukun Yamani. Orang-orang Quraisy kebimbangan, mereka menunggu malam hari, memerhati dan melihat apakah ada sesuatu yang buruk menimpa Al-Walid kerana tindakannya itu. Apabila keesokan harinya, mereka melihat Al-Walid keluar dari rumahnya dalam keadaan sihat tanpa sebarang masalah, mereka pun mula bersama-sama merobohkan Kaabah sehingga yang tinggal hanyalah asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim - 'alaihis salam.
Kemudian tiba peringkat pembinaan Kaabah. Tugas ini dibahagikan di kalangan kabilah-kabilah Quraisy, dan setiap kabilah bertanggungjawab membina satu bahagian Kaabah. Mereka menggunakan batu-batu dari Lembah untuk membinanya.
Apabila proses pembinaan sampai ke peringkat hendak meletakkan batu Hajar Aswad, timbul perselisihan di kalangan kabilah Quraisy. Masing-masing ingin memperoleh kehormatan untuk meletakkan Hajar Aswad di tempatnya. Perselisihan itu hampir mencetuskan peperangan antara mereka. Ketika itu, Abu Umayyah bin Al-Mughirah Al-Makhzumi (أبو أمية بن المغيرة المخزومي) mengusulkan agar orang pertama yang akan masuk ke pintu Masjidil Haram keesokan harinya adalah hakim bagi memutuskan perbalahan mereka tersebut. Semua pihak bersetuju, dan mereka menunggu. Apabila tiba keesokan hari, orang pertama yang masuk dari pintu Masjidil Haram adalah Rasulullah ﷺ. Apabila melihat Baginda, mereka berkata:
هذا الأمين ، رضينا ، هذا محمد
"Inilah Al-Amin (yang dipercayai), kami reda (Dia yang menjadi hakim). Ini Muhammad!"
Diterangkan kepada Rasulullah ﷺ perselisihan yang wujud antara mereka dan baginda bersabda:
هلمّ إلي ثوبا
"Bawakan kepadaku sehelai kain."
Mereka membawanya, lalu Baginda meletakkan Hajar Aswad di tengah kain tersebut dan berkata:
لتأخذ كل قبيلة بناحية من الثوب ثم ارفعوه جميعا
"Hendaklah wakil setiap kabilah memegang satu sudut kain ini, kemudian angkatlah bersama-sama."
Mereka pun melakukannya, dan apabila batu itu sampai ke tempatnya, Rasulullah ﷺ mengambil Hajar Aswad dengan tangan Baginda yang mulia dan meletakkannya di tempatnya.
Pembinaan Dengan Harta Halal
Kaum Quraisy berazam untuk membina Kaabah hanya menggunakan harta yang halal. Namun, dana mereka tidak mencukupi untuk membina Kaabah sepenuhnya. Oleh itu, mereka meninggalkan kawasan Hijr Ismail (الحطيم) daripada pembinaan dan menandainya sebagai sebahagian daripada Kaabah.
Dalam hadis sahih, Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada Aisyah رضي الله عنها:
ألم تري أن قومك قصرت بهم النفقة ؟ ولولا حدثان قومك بكفر لنقضت الكعبة ، وجعلت لها بابا شرقيا وبابا غربيا ، وأدخلت فيها الحجر
"Tidakkah kamu melihat bahawa kaummu (Quraish) kekurangan dana? Jika bukan kerana kaummu yang masih baharu meninggalkan kekufuran, pasti aku akan merobohkan Kaabah dan menjadikannya dua pintu, satunya di sebelah timur dan satu lagi di sebelah barat dan aku akan memasukkan Hijr (Ismail) ke dalam binaan Kaabah."
Pembinaan Kaabah Pada Zaman Ibnu Zubair
Pada zaman pemerintahan Abdullah bin Zubair رضي الله عنهما, beliau memutuskan untuk membina semula Kaabah mengikut hasrat Rasulullah ﷺ sebelum kewafatan baginda. Abdullah bin Zubair merobohkan Kaabah dan membinanya semula. Beliau menambah enam hasta bagi memasukkan kawasan Hijr yang ditinggalkan oleh Quraisy kerana kekurangan dana. Selain itu, beliau menambah ketinggian Kaabah sepuluh hasta lagi, menjadikan dua pintu, satu di sebelah timur dan satu di sebelah barat bagi membolehkan orang ramai masuk melalui satu pintu dan keluar melalui pintu yang satu lagi. Beliau membina Kaabah dan menjadikan Kaabah dalam keadan penuh keindahan dan sesuai dengan gambaran dari Nabi ﷺ yang diceritakan oleh ibu saudaranya, Aisyah رضي الله عنها.
Kaabah Diroboh Semula Di Zaman Abdul Malik bin Marwan
Pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan, Al-Hajjaj bin Yusuf Al-Thaqafi menulis surat kepada beliau mengenai apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Zubair RA terhadap Kaabah, termasuk penambahbaikan yang dilakukannya. Al-Hajjaj menyangka bahawa tindakan itu adalah hasil ijtihad Abdullah bin Zubair semata-mata, demikian juga Abdul Malik bin Marwan. Setelah itu Abdul Malik bin Marwan memerintahkan agar Kaabah dikembalikan kepada bentuk asal seperti yang dibina oleh Quraisy.
Dinding sebelah utara Kaabah dirobohkan oleh al-Hajjaj, menjadikan kawasan Hijr Ismail (al-Hatim) terkeluar dari bangunan bagi mengembalikannya seperti bentuk yang dibina oleh Quraisy. Demikian juga satu pintu Kaabah ditutup dan menjadikan Kaabah hanya mempunyai satu pintu dan lantai Kaabah ditinggikan dari paras bumi.
Namun, setelah Abdul Malik bin Marwan mendengar hadis daripada Aisyah رضي الله عنها tentang hasrat Nabi ﷺ terhadap pembinaan Kaabah, beliau menyesali keputusannya dan berkata:
وددنا أنا تركناه وما تولى من ذلك
"Alangkah baiknya jika kami membiarkan apa yang telah dilakukan oleh Ibnu Zubair."
Ketika Abdul Malik berhasrat untuk membina semula Kaabah seperti yang dilakukan oleh Ibnu Zubair, beliau meminta nasihat daripada Imam Malik. Imam Malik melarangnya kerana bimbang penghormatan terhadap Kaabah akan hilang dalam kalangan Umat Islam sekiranya setiap pemimpin selepas itu bebas untuk mengubah binaannya mengikut kehendak masing-masing.
Pembinaan Terakhir pada Zaman Uthmaniyyah
Pembinaan terakhir Kaabah berlaku pada zaman Kesultanan Uthmaniyyah, pada tahun 1040 Hijriyyah bersamaan 1630 Masehi. Ketika itu, banjir besar melanda Mekah, sehingga air hampir menenggelamkan seluruh Masjidil Haram. Air banjir yang melanda ketika itu sehingga ke paras lampu-lampu yang tergantung. Banjir ini menyebabkan struktur Kaabah menjadi lemah.
Gabenor Mesir ketika itu, Muhammad Ali Basha (محمد علي باشا), memerintahkan sekumpulan jurutera dan pekerja mahir untuk merobohkan dan membina semula Kaabah. Proses pembinaan mengambil masa setengah tahun dan menean belanja yang sangat tinggi. Akhirnya, pembinaan selesai, dan Kaabah kembali berdiri megah seperti hari ini.
Kaabah akan tetap diagungkan oleh orang-orang beriman hingga tiba masa yang ditentukan oleh Allah pada akhir zaman. Ketika itu, Kaabah akan dirobohkan oleh orang Habsyah, dan khazanah yang tersembunyi di dalamnya akan dikeluarkan.
Kesimpulannya, Kaabah memiliki Sejarah yang panjang dan penuh dengan peristiwa dan pengajaran yang sangat penting untuk kita fahami dan jadikan pedoman