Nabi SAW bersabda:
إنَّ المؤمنَ في قبرِه لفي روضةٍ خضراءَ ويُرحَبُ له قبرُه سبعونَ ذراعًا ويُنوَّرُ له كالقمرِ ليلةَ البدرِ أتدرون فيما أنزِلَت هذه الآيةُ: {فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى} [طه: 124] أتدرون ما المعيشةُ الضَّنكةُ ؟ قالوا: اللهُ ورسولُه أعلَمُ قال: عذابُ الكافرِ في قبرِه والَّذي نفسي بيدِه إنَّه يُسلَّطُ عليه تسعةٌ وتسعونَ تِنِّينًا أتدرون ما التِّنِّينُ سبعونَ حيَّةً لكلِّ حيَّةٍ سبعُ رؤوسٍ يلسَعونَه ويخدِشونَه إلى يومِ القيامةِ
“Sesungguhnya orang beriman dalam kuburnya berada di taman yang hijau, dan kuburnya diluaskan sejauh tujuh puluh hasta, serta diterangkan untuknya seperti cahaya bulan purnama. Tahukah kamu tentang apa ayat ini diturunkan: “Maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [Taha: 124]? Tahukah kamu apakah maksud “kehidupan yang sempit” itu? Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: "Itulah azab orang kafir di dalam kuburnya. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh akan seorang kafir itu akan dikuasai oleh sembilan puluh sembilan ekor naga. Tahukah kamu apa itu naga? Ia adalah tujuh puluh ekor ular, setiap ular memiliki tujuh kepala, yang akan mematuk dan mencakar tubuhnya sehingga hari kiamat." Hadis riwayat: Abu Hurairah / Status hadis: Isnadnya hasan / Perawi & sumber: Shu'aib al-Arna'ut – Takhrij Sahih Ibn Hibban no. 3122. Juga diriwayatkan oleh Abu Ya’la (6644), Ibn Abi Hatim dalam Tafsir (14389), dan al-Bayhaqi dalam Ithbat 'Azab al-Qabr (68) dengan sedikit perbezaan.
HURAIAN
Nikmat dan azab kubur telah sabit dalam al-Kitab dan Sunnah. Umat Islam juga telah sepakat atas kesabitannya. Adanya azab kubur telah diriwayatkan kepada kita secara mutawatir. Maka wajib bagi setiap Muslim untuk beriman dengannya dan memohon perlindungan kepada Allah daripada fitnah dan azab kubur.
Dalam hadis ini, Nabi ﷺ memberitahu bahawa orang beriman yang tetap imannya dan mati dalam keadaan demikian akan selamat daripada fitnah kubur dan berjaya menghadapi soalan dua malaikat Munkar dan Nakir. Seterusnya orang yang beriman itu akan diberi nikmat di dalam sebuah taman hijau yang segar. Allah akan meluaskan kuburnya sejauh tujuh puluh hasta. Dalam riwayat al-Tirmizi, Nabi SAW bersabda:
يُفسَحُ له في قَبرِه سَبعونَ ذِراعًا في سَبعينَ
"Akan diluaskan kuburnya tujuh puluh hasta panjang dan lebar."
Maksudnya Allah akan meluaskan untuknya atau Allah memerintahkan para malaikat untuk meluaskan kuburnya, bagi orang yang mengakui keesaan Allah dan kerasulan Nabi ﷺ. Kemudian Allah menerangi kuburnya seperti cahaya bulan purnama pada malam bulan penuh, iaitu dengan cahaya yang kuat dan terang.
Kemudian Nabi ﷺ bersabda kepada para sahabat: "Tahukah kamu tentang apa ayat ini diturunkan: “Maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [Taha: 124]? Tahukah kamu apakah maksud: “kehidupan yang sempit’ itu?" Iaitu, apakah maksud sebenarnya? Maka para sahabat radhiyallahu ‘anhum menyerahkan ilmu tentang itu kepada Allah dan Rasul-Nya, kerana hanya Allah dan Rasul sahaja yang mengetahui perkara ghaib ini. Lalu baginda bersabda: "Itulah azab orang kafir di dalam kuburnya." Maka orang kafir akan dikenakan azab yang berat di dalam kuburnya dan berada dalam kesempitan yang dahsyat. Nabi ﷺ pun bersumpah dengan Tuhan yang menguasai jiwanya – yakni Allah ‘Azza wa Jalla – bahawa Allah akan menjadikan diri seorang kafir ini dikuasai oleh sembilan puluh sembilan ekor naga. Kemudian Nabi ﷺ menjelaskan sifat naga itu, iaitu: Tujuh puluh ekor ular, setiap ular mempunyai tujuh kepala yang akan menyengat dan mencakar tubuhnya dengan gigitan dan cakaran, dan dia akan terus berada dalam keadaan itu hingga Allah membangkitkan seluruh makhluk untuk hisab pada hari kiamat. Ini adalah bentuk ancaman dan amaran bagi orang kafir supaya dia menyedari hakikat apa yang sedang dialaminya di dunia, dan agar dia segera beriman.
Inilah azab bagi orang kafir di kubur. Adapun kehidupannya di akhirat kelak, maka ia lebih sempit dan lebih dahsyat lagi. Manakala orang yang kehidupannya baik selepas kematiannya, maka kebaikan itu tidak akan terputus daripadanya.