Prof. Dr. Faḍl ʿAbd Allāh Murād
Profesor Fiqh dan Isu-isu Kontemporari – Qatar / Setiausaha Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.
Penterjemah: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Saya melihat ada yang mengecam tindakan sebahagian pencinta al-Muhaddith al-Huwaini – semoga Allah merahmatinya – kerana mereka menulis namanya pada batu nisannya serta tarikh kewafatannya. Maka marah besarlah golongan yang keras dalam mengecam perbuatan ini sambil mendakwa ia adalah satu bentuk bid‘ah.
Saya telah pun membahaskan isu ini dalam kitab saya Khāriṭah al-Naẓar al-Fiqhī (خارطة النظر الفقهي) – semoga Allah memudahkan pencetakannya dan penyempurnaannya.
Kesimpulan perbahasan itu saya ringkaskan di sini:
Telah sabit bahawa Nabi SAW meletakkan batu sebagai tanda di atas kubur Ibn Maẓ‘ūn, dengan sabdanya:
أتَعَلَّمُ بها قبرَ أخي، وأدفِنُ إليه من مات مِن أهلِي
"Aku menjadikannya tanda untuk mengenali kubur saudaraku, dan aku akan mengebumikan ahli keluargaku yang meninggal di sisinya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Ini adalah illah mansusah, menunjukkan bahawa apa sahaja yang boleh dijadikan sebagai tanda untuk mengenali kubur adalah dibolehkan atau diharuskan, kecuali jika terdapat dalil yang melarang secara khusus. Antara cara untuk dibuat tanda ialah dengan menulis nama si mati serta tarikh kewafatannya, tanpa berlebih-lebihan. Maka perbuatan ini termasuk dalam sebab (‘illah) yang disebut dalam hadis.
Larangan menulis di atas kubur – jika sabit – maka ia adalah nas dalam isu ini. Tetapi yang sahih ialah larangan itu adalah berdasarkan riwayat syādh (ganjil). Sebab itu Imam Muslim menghindarinya. Dalam Ṣaḥīḥ Muslim, beliau berkata:
حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة، حدثنا حفص بن غياث، عن ابن جريج، عن أبي الزبير، عن جابر قال: «نهى رسول الله -صلى الله عليه وسلم- أن يجصص القبر، وأن يقعد عليه، وأن يبنى عليه
Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah, katanya: Telah menceritakan kepada kami Ḥafṣ bin Ghiyāth, daripada Ibn Jurayj, daripada Abu al-Zubayr, daripada Jābir katanya: "Rasulullah SAW melarang disapu kubur atau dilapisi dengan kapur putih atau ditampal dengan plaster, duduk di atasnya, dan membuat binaan di atasnya." (Hadis Sahih Muslim)
Terdapat tambahan riwayat al-Tirmiżī dan al-Nasāʾī berkata:
زاد سليمان بن موسى: أو يُكتَبَ عليه
(Riwayat) Sulaimān bin Mūsā terdapat tambahan: “Atau ditulis di atasnya (kubur).” Perkataan al-nasa’i seperti ini adalah satu isyarat daripada beliau akan kelemahannya. Ini kerana Sulaiman adalah perawi yang lemah serta tidak pernah mendengar hadis daripada Jābir. Tambahan pula, perawi-perawi yang thiqah daripada Ibn Jurayj tidak menyebut tambahan ini, maka jelaslah ia (tambahan tersebut) adalah riwayat yang syādh.
Mungkin al-Albānī tidak memerhatikan kelemahan ini, maka beliau menilai tambahan ini sebagai sahih. Namun saya kemudian menemui penarikan beliau terhadap penilaian sahih ini, maka hendaklah diambil perhatian.
Oleh itu, menulis di atas kubur untuk tujuan menjadi tanda penghuni kubur adalah dibolehkan, berdasarkan qiyās kepada perbuatan Nabi SAW meletakkan batu tanda. Ini juga merupakan pandangan ulama mazhab Ḥanafī. Ibn ʿĀbidīn menyebut:
قوله لا بأس بالكتابة إلخ) لأن النهي عنها وإن صح فقد وجد الإجماع العملي بها
"Perkataannya: Tiada masalah dengan penulisan (pada kubur)… – kerana jika larangan yang ada itu sahih, telah wujud ijma‘ ‘amali (yakni amalan umum umat Islam) yang membolehkannya."
Kesimpulan pandangan ulama dalam isu ini:
- Harus (dibolehkan) – Ini adalah pendapat ulama mazhab Ḥanafī, Ibn Ḥazm, dan juga fatwa Dar al-Ifta’ Mesir, jika tiada fitnah dan ada keperluan untuk menulis nama dan tarikh wafat tanpa berlebihan. Ini juga pandangan Ibn Saʿdī, Ibn ʿUthaymīn, dan al-Albānī – dan ini juga merupakan fatwa saya (Dr. Fadhl Abdullah Murad.
- Makruh secara mutlak – Pendapat ulama mazhab Mālikī, Syāfiʿī, dan Ḥanbalī.
- Haram – Pendapat al-Shawkānī, dan diikuti oleh Lajnah Dāʾimah (Arab Saudi). Namun pandangan ini jauh dari kekuatan hujah.
Pandangan yang benar ialah pendapat pertama, dan al-Ḥākim telah meriwayatkan bahawa ia adalah amalan umat tanpa sebarang bantahan. Al-Ḏhahabī mengkritik kenyataan ini, namun kritikannya ini tidak secara mutlak.
Harus ini dibatasi pada keadaan di mana perlu untuk mengenal pasti kubur agar boleh diziarahi. Adapun pembinaan, menampal kubur, meninggikannya dan seumpamanya, maka itu adalah perkara yang dilarang secara jelas, dan hukum asalnya adalah haram. Perkara yang dilarang secara nyata ialah apa yang banyak berlaku hari ini, membina binaan tinggi di atas kubur, membina kubah, menulis ayat al-Quran, menghias dan sebagainya, semuanya termasuk dalam larangan secara teks mahupun secara mafhum.
Penulisan ayat al-Quran di atas kubur telah difatwakan oleh al-Azraʿī (الأذرعي) sebagai haram, kerana ia boleh membawa kepada penghinaan dan mendedahkan ayat al-Quran kepada najis.
ʿUlīsh al-Mālikī (عُلَيْشٌ الْمَالِكِيُّ) dalam Manḥ al-Jalīl berkata berkenaan penulisan pada kubur:
وينبغي حرمة نقش القرآن وأسماء الله تعالى مطلقا لتأديته إلى الامتهان، وكذا نقشها على الحيطان
Maksudnya: "Haram menulis ayat al-Quran dan nama-nama Allah secara mutlak kerana ia boleh membawa kepada penghinaan. Begitu juga penulisan di dinding."
Dalam Ḥāsyiah al-Dusuqī juga disebut:
وينبغي الحرمة لأنه يؤدي إلى امتهانه، ومثله نقش القرآن وأسماء الله تعالى على الجدران.
Maksudnya: "Haram (menulis ayat al-Quran di kubur) kerana membawa kepada penghinaan, sama seperti menulis ayat al-Quran dan nama Allah di dinding."
Al-Azraʿī al-Syāfiʿī berkata:
والقياس الظاهر تحريم كتابة القرآن سواء في ذلك جميع جوانبه أي جوانب القبر لما فيه من تعريضه للأذى بالدوس والنجاسة…
"Qiyās yang jelas ialah haram menulis ayat al-Quran di semua bahagian kubur kerana ia mendedahkannya kepada kotoran dan najis."
Saya nyatakan bahawa: Kedudukan Qiyās (boleh menulis di kubur) ini berlaku pada apa-apa yang dapat menyampaikan maksud dan tujuan, iaitu untuk mengenal pasti pemilik kubur sahaja.
Kesimpulannya, menulis nama si mati dan tarikh wafatnya sahaja, pada kadar sederhana, saya tidak melihat ada larangan padanya – selari dengan pendapat ulama mazhab Ḥanafī, Ibn Ḥazm, Dar al-Ifta’ Mesir, Ibn ʿUthaymīn, gurunya dan lain-lain.
Jika lafaz larangan itu sahih pun, maka keharusan ini termasuk dalam bentuk takhṣīṣ al-ʿumūm bil-qiyās (mengkhususkan dalil umum dengan qiyās), dan ini dibenarkan menurut mazhab jumhur. Ia bukan pertentangan antara nas dan qiyas, dan antara keduanya terdapat perbezaan yang diketahui dalam kitab-kitab usul. Saya juga telah jelaskan hal ini serta cabang-cabangnya dalam kitab saya yang disebut tadi.
(sumber: https://www.fiqhaleasr.com/9091 dilihat pada 4/4/2025, 11:47 malam)