Bab al-Ji‘ālah

Fiqh Muamalat Jumlah paparan: 84

Bab Al-Ji‘ālah الجعالة [1]

Al-Ji‘ālah dari sudut bahasa ialah:

اسم لما يجعل للإنسان على شيء

 “nama bagi sesuatu yang dijadikan (diberikan) kepada seseorang atas suatu perkara.”

Dan dari segi syarak, ia adalah:

التزام عوض معلوم على عمل معين

“Komitmen untuk memberi ganjaran yang diketahui atas satu kerja tertentu.”

Dari definisi ini menunjukkan rukun ji'alah ada empat:

Pertama: pihak yang membuat akad (العاقد), iaitu yang berkomitmen (الملتزم) dan pihak yang akan melakukan kerja (العامل).

Ungkapan dalam definisi dari sudut syarak: "عوض معلوم" (ganjaran yang diketahui) merujuk kepada الجُعل atau upah. Ungkapan: "عمل معين" (kerja tertentu) merujuk kepada kerja yang dilakukan.

Asal pensyariatan ji‘ālah ialah hadis Abu Sa‘id al-Khudri yang masyhur, ketika beliau membaca surah al-Fātiah untuk menjampi ketua kabilah yang disengat haiwan berbisa. Beliau juga meletakkan syarat, tidak akan menjampi ketua kabilah yang disengat itu, melainkan jika mereka bersetuju memberinya upah yang berupa beberapa ekor kambing. Setelah dipersetujui, beliau membaca al-Fātiah, lalu ketua kabilah yang disengat itu sembuh dengan segera. Lalu ada yang berkata kepada beliau: أتأخذ على كتاب الله أجرا , maksudnya: “Adakah engkau mengambil upah atas membaca Kitab Allah?” Lalu para sahabat yang bersama dengan beliau tidak berani berbuat apa dengan kambing yang diberikan sebagai upah tersebut, sehinggalah mereka menemui Rasulullah . Setelah dikhabarkan kepada baginda apa yang berlaku, baginda bersabda kepada mereka:

إن أحسن ما أخذتم عليه كتاب الله

"Sesungguhnya sebaik-baik yang kamu ambil upah atasnya ialah Kitab Allah."

Demikian juga telah berlaku ijmak umat atas keharusan al-Ji‘ālah atau mengambil upah.

Gambaran masalah:

Pertama: Zaid berkata kepada ‘Amr: "Jika kamu dapat membawa pulang keretaku, maka untuk kamu RM500." Ini ialah gambaran bagi orang tertentu untuk melakukan sesuatu kerja.

Kedua: Zaid berkata: "Barang siapa yang memulangkan keretaku, maka untuknya RM500." Lalu seseorang yang layak melakukan kerja itu membawa pulang kereta Zaid. Ini pula gambaran bagi orang yang tidak ditentukan dalam melakukan sesuatu kerja.

Berkata Abu Syuja’ رحمه الله تعالى: والجعالة جائزة “Dan ju‘ālah itu adalah harus." Maksudnya sah dan halal.

Kemudian beliau berkata رحمه الله تعالى:

وهو أن يشترط في رد ضالته عوضا معلوما

“iaitu apabila seseorang mensyaratkan (memberi jaminan) pada perbuatan memulangkan haiwannya yang hilang satu ganjaran yang diketahui (untuk sesiapa yang melakukannya)."

Maksudnya, orang yang berkomitmen (الملتزم) memberi jaminan akan diberikan upah, walaupun dia bukan pemilik haiwan yang hilang tersebut. Terdapat dua gambaran komitmen atau iltizam yang dilakukan, sama ada dari pemilik haiwan yang hilang, atau dari selainnya.

Perkataan "ضالته" yang bermaksud haiwannya. Ia merujuk kepada pemilik kepada haiwan yang hilang. Namun ungkapan ini tidak memaksudkan ji'alah hanya boleh dilakukan oleh pemilik haiwan yang hilang. Hal ini demikian kerana, ungkapan ini bukan bertujuan menjadikan pemilikan haiwan yang hilang itu sebagai satu syarat (qayd). Bahkan ji‘alah boleh dilakukan meskipun haiwan yang hilang itu milik orang lain. Perkataan "الضالة" ialah istilah yang merujuk kepada apa-apa yang hilang dari haiwan atau binatang. Abu Syuja’ menyebutnya hanyalah sebagai contoh. Bukan dijadikannya syarat membolehkan akad ji‘alah. Maka boleh diadakan akad ji‘alah untuk selain kerja mengembalikan haiwan yang hilang termasuklah pemulangan barang, mengajar kanak-kanak, pengkhususan sesuatu, menjahit, kerja binaan, dan selainnya.

Perkataan Abu Syuja’: "عوضا" iaitulah الجُعل atau upah yang dijamin. Perkataan "معلوما", (yang diketahui), kerana disyaratkan upah itu ditetapkan dan diketahui kadarnya, agar ia atau ain upah itu dapat menjadi hak. Jika upah tersebut tidak ditentukan, seperti seseorang berkata: "Barang siapa yang berjaya membawa pulang keretaku, maka untuknya apa yang menyenangkan hatinya," maka ji‘alah seperti ini tidak sah. Untuk orang yang melakukan kerja, berhak mendapat upah yang setimpal (أجرة المثل), jika dia telah melakukan kerja tersebut.

Kemudian kata Abu Syuja’ رحمه الله:

فإذا ردها استحق ذلك العوض المشروط

"Maka apabila dia membawa pulang haiwan yang hilang tersebut, dia berhak mendapat ganjaran yang telah disyaratkan."

Maksudnya: jika orang yang melakukan kerja itu membawa pulang haiwan yang hilang atau apa yang telah disebutkan oleh pihak yang menjanjikan upah (الجاعل), maka orang tersebut  berhak mendapat ganjaran atau upah yang telah disyaratkan atau yang telah dinyatakan, yang telah dijanjikan kepada orang yang melakukan kerja (العامل).

Pemulangan haiwan yang hilang itu, sama ada dari tempat yang telah ditentukan, maka yang memulangkannya berhak mendapat seluruh ganjaran yang dijanjikan. Jika dia memulangkannya dari tempat yang lebih dekat dari tempat yang ditentukan, maka dia hanya berhak separuh dari ganjaran yang dijanjikan (بقسطه).

Jika dia memulangkannya dari tempat yang lebih jauh dari tempat yang ditentukan, maka tiada tambahan ganjaran bagi ‘amil (yang melakukan) kerana pihak yang menjanjikan (ja'il) tidak memberi jaminan upah yang lebih untuknya.

Jika orang yang memulangkan itu lebih daripada seorang (تعدد العامل), yakni ramai yang melakukan kerja tersebut, maka untuk mereka ganjaran itu mengikut bilangan kepala, walaupun kerja mereka berbeza-beza. Inilah zahir perkataan al-iṣnī (الحصني) dalam Kifāyah al-Akhyar, berbeza dengan al-Bājūrī, beliau menyebut bahawa jika kerja mereka berbeza, maka upah yang telah ditetapkan dibahagi mengikut kadar jarak contohnya, atau mengikut kadar kerja mereka. Wallāhu a‘lam.

Hakikat akad ji‘ālah ialah akad jaiz (عقد جائز) yang boleh dibatalkan oleh kedua-dua pihak pihak, yang menjanjikan (الجاعل) atau pihak yang melakukan kerja (العامل).

Jika pihak yang menjanjikan (الجاعل) atau pihak yang tertentu untuk melakukan kerja (العامل) membatalkannya sebelum memulakan kerja, maka tiada apa-apa hak baginya kerana dia belum melakukan apa-apa kerja.

Dan jika pihak yang melakukan kerja (العامل) membatalkannya, sama ada dia orang yang telah ditentukan atau tidak, selepas memulakan kerja, maka tiada apa-apa hak baginya kerana matlamat pihak yang menjanjikan belum tercapai (لم يحصل غرض الجاعل).

Tetapi jika pihak yang menjanjikan upah (الجاعل) membatalkannya selepas bermula kerja, maka pihak yang melakukan kerja (العامل) berhak mendapat ujrah al-mithl (upah sepadan) kerana kerjanya dianggap sah dan dihormati. Maka upah tidak luput begitu sahaja kerana pembatalan itu. Namun pembatalan itu menggugurkan upah yang telah dinyatakan kerana terangkatnya akad, maka kembalilah kepada gantinya, iaitu ujrah al-mithl (أجرة المثل) atau upah setimpal.



[1] Kalimah: الجعالة dari kalimah: الْجُعْل dengan dhommah huruf Jim, bermaksud: الأَْجْرُ  iaitu upah. Orang Arab apabila berkata: جَعَلْتُ لَهُ جُعْلًا bermaksud: “Aku adakan untuknya ju’lan (upah).”. Kalimah: الجعالة dibariskan huruf jim dengan baris kasrah. Sebahagian mengatakan boleh التَّثْلِيثَ, iaitulah dibariskan dhommah, fathah dan kasrah. Ia adalah: اسْمٌ لِمَا يُجْعَل لِلإِْنْسَانِ عَلَى فِعْل شَيْءٍ katanama untuk sesuatu yang dijadikan untuk seseorang (sebagai upah) atas sesuatu kerja buat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 15/208)

Cetak
Wallahu a'lam