SDI 1800: Apakah Makmum Wajib Membaca al-Fatihah Dalam Solat Berjemaah?

Soalan:

Apakah makmuk wajib membaca al-Fatihah dalam solat berjemaah?

Jawapan:

Wujud perbezaan pendapat ulama dalam permasalahan ini. Pandangan yang kuat (rajih) di sisi al-Qaradhawi ialah pandangan ulama mazhab Hambali yang mengatakan makmum wajib membaca al-Fatihah jika tidak mendengar bacaan al-Fatihah imam. Kata beliau:

وهذا الرأي، هو القول الوسط والمعقول

“Pandangan ini adalah pendapat yang pertengahan dan berteraskan pertimbangan yang seimbang (dari sudut syarak dan akal).” (Lihat Fiqh al-Solah oleh al-Qaradhawi, hal: 78-79)

HURAIAN

Para fuqaha berbeza pandangan, apakah al-Fatihah yang dibaca oleh imam dalam solat berjemaah telah memadai, dan makmum tidak perlu lagi membacanya? Di bawah ini disertakan secara ringkas pandangan ulama mazhab:

  1. Ulama mazhab Hanafi berpendapat, al-Fatihah tidak wajib dibaca oleh makmum secara mutlaq, sama ada dalam solat siriyyah mahupun jahriah.

Mereka berdalilkan sabda Nabi :

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَتُهُ لَهُ قِرَاءَةٌ

“Sesiapa yang mempunyai imam, maka bacaan imamnya adalah bacaannya.” (HR Ahmad. Para pentahkik Musnad Ahmad menilai hadis ini sebagai hasan melalu turuqnya dan syawahidnya)

  1. Imam Malik berpandangan suatu yang baik (istihsan) jika makmum membaca al-Fatihah dalal solat secara siriyyah. Manakala makmum tidak perlu  membaca al-Fatihah dalam solat yang imam membaca secara jahriah.

Al-Qasim bin Muhammad pernah ditanya tentang bacaan makmum ketika di belakang imam dalam solat yang dibaca secara sirr atau perlahan. Maka beliau menjawab:

إن قــرأت، فلك فــي رجال مــن أصحاب رســول االله أســوة، وإذا لــم تقــرأ، فلك فــي رجال مــن أصحاب رسول االله أسوة

“Jika kamu membaca (al-fatihah), maka engkau telah mencontohi beberapa orang sahabat Rasulullah , dan jika kamu tidak membaca (al-Fatihah), maka engkau juga telah mencontohi beberapa orang sahabat Rasulullah .” (Jami’ Bayan al-‘Ilm 2/80)

  1. Ulama mazhab Syafi‘e berpendapat membaca al-Fatihah adalah wajib dalam setiap rakaat solat, sama bagi solat bacaan secara sir (perlahan), mahupun bacaan jahr (nyaring), sama ada bagi imam mahupun makmum. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi‘i. Mereka berhujah dengan keumuman hadith ‘Ubadah bin al-Samit r.a (عُبَادَة بْنِ الصَّامِتِ):

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَا يَقْرَأُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca al-Fatihah.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadith lain daripadanya, beliau RA berkata:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ ﷺ الصُّبْحَ، فَثَقُلَتْ عَلَيْهِ الْقِرَاءَةُ، فَلَمَّا انْصَرَفَ رَسُولُ اللهِ ﷺ مِنْ صَلَاتِهِ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ فَقَالَ: إِنِّي لَأَرَاكُمْ تَقْرَؤُونَ خَلْفَ إِمَامِكُمْ إِذَا جَهَرَ؟ قَالَ: قُلْنَا: أَجَلْ وَاللهِ يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَهَذَا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: فَلَا تَفْعَلُوا إِلَّا بِأُمِّ الْقُرْآنِ، فَإِنَّهُ لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَا يَقْرَأُ بِهَا

“Rasulullah mengimami kami solat Subuh, maka terasa berat bacaan baginda. Setelah selesai, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku lihat kamu membaca di belakang imam kamu.” Kami menjawab: “Demi Allah, benar wahai Rasulullah, kami memang melakukan demikian.” Baginda bersabda: “Jangan lakukan begitu kecuali Umm al-Kitab (al-Fatihah), kerana tidak sah solat bagi siapa yang tidak membacanya.” (HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidhi, beliau juga menilai hadis ini sebagai hasan. Para pentahkik kitab Musnad Ahmad pula menilai hadis ini sebagai Sahih Lighairih)

  1. Imam Ahmad pula berkata:

إن القراءة تجب على من لم يســمع الإمام، ومن سمع لزمه الإنصات، ولا يجوز له أن يقرأ وإمامه يقرأ، لا سورة الفاتحة ولا غيرها؛ لآية: ﴿ وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ﴾ [الأعراف: ٢٠٤]، قــال: أجمعوا على أن هذه الآية في الصلاة. ولقوله : وإذا قــرأ فأنصتــوا، يعني الإمام، ولأنه إذا انشــغل المأموم بالقراءة لم يكن لجهر الإمام فائدة

Bacaan (al-Fatihah) wajib ke atas sesiapa yang tidak mendengar bacaan imam. Namun bagi yang mendengar bacaan imam, hendaklah dia diam untuk mendengarnya. Tidak boleh dia juga membaca ketika imamnya membaca (dan dia mendengarnya). Tidak boleh dia membaca al-Fatihah dan tidak juga selainnya, berdasarkan firman Allah Ta‘ala: "Dan apabila al-Qur’an dibacakan, maka dengarlah kepadanya dan diamlah." (Surah al-A‘raf: 204) Beliau berkata: Para ulama telah sepakat bahawa ayat ini berkaitan dengan solat. Dan juga sabda Nabi : "Apabila imam membaca, maka diamlah kalian." (HR Muslim). Ini kerana, jika makmum sibuk membaca, maka tiadalah manfaat bagi bacaan jahr imam.” (Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ 2/278)

 


Cetak  
Wallahu a'lam