Soalan:
Anak saya baligh ketika melaksanakan ibadah haji. Apakah haji yang dilakukannya itu haji Islam?
Jawapan:
Seorang kanak-kanak yang melaksanakan haji, mencapai umur baligh ketika melaksanakan haji, sekurang-kurangnya ada dua keadaan;
[1] Kanak-kanak yang mencapai baligh sama ada dengan sempurna umur 15 tahun qamari atau dengan bermimpi dan seumpamanya, Jika hal itu berlaku sebelum wukuf di Arafah, atau sebelum tamat waktu wukuf di Arafah, lalu dia pergi ke Arafah setelah baligh, maka haji yang dilakukannya itu adalah haji Islam.
[2] Kanak-kanak yang mencapai baligh setelah tamat waktu berwukuf di Arafah, maka hajinya bukan haji Islam. Haji yang dilakukannya itu adalah haji sunat, masih belum mengangkat kewajipan melaksanakan haji sekali seumur hidupnya.
Al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 7/46 berkata:
فإذا أحرم الصبي بالحج ثم بلغ أو العبد ثم عتق ، فلهما أربعة أحوال: (أحدها) أن يكون البلوغ والعتق بعد فراغ الحج، فلا يجزئهما عن حجة الإسلام، بل تكون تطوعا، فإن استطاعا بعد ذلك لزمهما حجة الإسلام وهذا لا خلاف فيه عندنا، وبه قال العلماء كافة، ونقل ابن المنذر فيه إجماع من يعتد به للحديث المذكور، ولأن حجه وقع تطوعا فلا يجزئه عن الواجب بعده. (الثاني) أن يكون البلوغ والعتق قبل الفراغ من الحج لكنه بعد خروج وقت الوقوف بعرفات فلا يجزئهما عن حجة الإسلام بلا خلاف; لأنه لم يدرك وقت العبادة فأشبه من أدرك الإمام بعد فوات الركوع، فإنه لا تحسب له تلك الركعة. (الثالث) أن يكون قبل الوقوف بعرفات أو حال الوقوف، فيجزئهما عن حجة الإسلام بلا خلاف عندنا. وقال أبو حنيفة ومالك: لا يجزئهما، والخلاف يتصور مع أبي حنيفة في العبد دون الصبي، فإنه قال: لا يصح إحرامه. دليلنا أنه وقف بعرفات كاملا فأجزأه عن حجة الإسلام، كما لو كمل حالة الإحرام. (الرابع) أن يكون بعد الوقوف بعرفات، وقبل خروج وقت الوقوف بأن وقف يوم عرفات ثم فارقها، ثم بلغ أو عتق قبل طلوع الفجر ليلة النحر، فإن رجع إلى عرفات فحصل فيها، ووقت الوقوف باق أجزأه عن حجة الإسلام بلا خلاف، كما لو بلغ، وهو واقف.
Apabila seorang kanak-kanak ihram untuk haji, kemudian baligh, atau seorang hamba kemudian dibebaskan, maka bagi kedua-duanya ada empat keadaan: Pertama: Baligh dan pembebasan berlaku selepas selesai haji, maka tidak mencukupi bagi mereka sebagai Haji Islam, bahkan ia menjadi haji sunat. Jika mereka berkemampuan selepas itu, maka wajib atas mereka melaksanakan Haji Islam. Dalam hal ini tiada khilaf menurut mazhab kami, dan demikian juga pendapat kebanyakan ulama. Ibn al-Mundzir menukilkan telah berlaku ijmak tentang perkara ini dalam kalangan mereka yang diiktiraf, berdasarkan hadis yang disebut, dan kerana hajinya berlaku sebagai haji sunat, maka ia tidak memadai bagi menggantikan yang wajib selepas itu. Kedua: Baligh dan pembebasan berlaku sebelum selesai haji tetapi selepas tamat waktu wuquf di Arafah, maka tidak memadai bagi mereka sebagai Haji Islam tanpa khilaf; kerana mereka tidak sempat mendapati waktu ibadah (dapat dihitung), maka hukumnya seperti orang yang sempat menyertai solat bersama imam selepas rukuk selesai, maka tidak dikira rakaat itu baginya. Ketiga: Baligh atau dibebaskan sebelum wuquf di Arafah atau semasa wuquf, maka memadai bagi mereka sebagai Haji Islam tanpa khilaf menurut mazhab kami. Abu Hanifah dan Malik berkata: Tidak memadai bagi mereka. Khilaf ini berlaku bersama Abu Hanifah pada hamba sahaja, bukan pada kanak-kanak, kerana beliau berkata: Ihram kanak-kanak tidak sah. Dalil kami ialah dia sempat wuquf di Arafah dalam keadaan sempurna, maka telah memadai bagi Haji Islam, seperti juga jika dia sempurna (baligh) ketika ihram. Keempat: Baligh atau pembebasan berlaku selepas wuquf di Arafah dan sebelum habis waktu wuquf, iaitu dia wuquf pada siang Arafah kemudian meninggalkan Arafah, lalu dia baligh atau dibebaskan sebelum fajar terbit pada malam Nahr, maka jika dia kembali semula ke Arafah dan berada di sana dalam waktu wuquf masih ada, maka telah memadai baginya sebagai Haji Islam tanpa khilaf, sama juga jika dia baligh ketika sedang wuquf…”