SDI 1794: Kadar Minimum Rukuk Untuk Dapat Rakaat Bagi Masbuq

Soalan:

Saya ingin bertanya tentang sejauh mana benarnya bahawa had minimum untuk dianggap sempat rukuk bersama imam? Jika makmum rukuk dan imam segera bangun selepas itu, maka dia tidak sempat rakaat tersebut kerana dia mestilah mengucapkan sekurang-kurangnya satu tasbih sebelum imam bangun?

Jawapan:

Had minimum untuk dianggap sempat rukuk bersama imam ialah apabila makmum sempat mencapai kadar minimum rukuk sebelum imam bangun.

Dalam Al-Mawsu‘ah Al-Fiqhiyyah disebutkan:

اتّفق الفقهاء على أنّ من أدرك الإمام في الرّكوع فقد أدرك الرّكعة، لقول النّبيّ صلى الله عليه وسلم: "من أدرك الرّكوع فقد أدرك الرّكعة" ولأنّه لم يفته من الأركان إلاّ القيام، وهو يأتي به مع تكبيرة الإحرام، ثمّ يدرك مع الإمام بقيّة الرّكعة، وهذا إذا أدرك في طمأنينةٍ الرّكوع أو انتهى إلى قدر الإجزاء من الرّكوع قبل أن يزول الإمام عن قدر الإجزاء.

Para fuqaha’ sepakat bahawa sesiapa yang sempat bersama imam dalam rukuk, maka dia sempat mendapat rakaat tersebut. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang sempat mendapat rukuk (bersama imam) maka dia sempat mendapat rakaat.” Ini kerana dia hanya tertinggal rukun berdiri, dan itu boleh digabungkan dengan takbiratul ihram, kemudian dia bersama imam dalam baki rakaat. Ini berlaku apabila dia sempat dalam keadaan rukuk dengan tuma’ninah atau sempat sampai kadar minimum rukuk sebelum imam keluar dari kadar tersebut.

Dalam Al-Majmu’ oleh Imam Nawawi, beliau berkata:

قال الشافعي والأصحاب: إذا أدرك مسبوق الإمام راكعا وكبر وهو قائم ثم ركع فإن وصل المأموم إلى حد الركوع المجزئ وهو أن تبلغ راحتاه ركبتيه قبل أن يرفع الإمام عن حد الركوع المجزئ فقد أدرك الركعة وحسبت له. قال صاحب البيان: ويشترط أن يطمئن المأموم في الركوع قبل ارتفاع الإمام عن حد الركوع المجزئأطلق جمهور الأصحاب المسألة ولم يتعرضو للطمأنينة ولا بد من اشتراطها كما ذكره صاحب البيان. قال الرافعي: قال أصحابنا: ولا يضر ارتفاع الإمام عن أكمل الركوع إذا لم يرتفع عن القدر المجزئ. وهذا الذي ذكرناه من إدراك الركعة بإدراك الركوع هو الصواب الذي نص عليه الشافعي. وقال جماهير الأصحاب وجماهير العلماء: وتظاهرت به الأحاديث وأطبق عليه الناس وفيه وجه ضعيف مزيف أنه لا يدرك الركعة بذلك.

Imam al-Syafi‘i dan para sahabatnya berkata: Jika makmum masbuq sempat bersama imam yang sedang rukuk, lalu dia bertakbir dalam keadaan berdiri dan terus rukuk, maka jika dia sempat mencapai kadar minimum rukuk iaitu apabila tapak tangannya sampai ke dua lutut sebelum imam bangun dari kadar minimum rukuk, maka dia dikira sempat mendapat rakaat dan rakaat dikira untuknya. Pengarang Al-Bayan menyatakan: Disyaratkan makmum itu berada dalam tuma’ninah semasa rukuk (bersama imam) sebelum imam bangun dari kadar minimum rukuk. Kebanyakan sahabat menyebut isu ini secara umum tanpa menyebut soal tuma’ninah, tetapi ia mesti disyaratkan seperti disebut dalam Al-Bayan. Al-Rafi‘i menyatakan: Ulama kami berkata: Tidak mengapa jika imam bangun dari rukuk yang sempurna asalkan dia belum bangun dari kadar minimum rukuk. Apa yang kami sebutkan ini, iaitu mendapat rakaat dengan sempat mendapat rukuk, adalah pandangan yang betul sebagaimana yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i. Majoriti Ashab dan ulama menyatakan perkara ini terdapat banyak hadis serta telah diamalkan oleh umat Islam secara umum. Ada satu pandangan yang lemah dan tertolak yang menyatakan tidak dikira mendapat rakaat dengan sempat mendapat rukuk.”

Maka, berdasarkan penjelasan ini, para ulama mensyaratkan sempat tuma’ninah ketika rukuk sebelum imam bangun, dan ukuran tuma’ninah itu ialah sempat bersama imam kadar satu tasbih.


Cetak  
Wallahu a'lam