Soalan:
Assalamualaikum Ustaz.. semoga ustaz dalam suasana sehat walafiat. Ambo nak bertanya ni.. adakah dibolehkan seorang anak yang tidak islam membayar zakat fitrah untuk ibu bapanya?
Jawapan:
Alhamdulillah saya berada dalam keadaan sihat wal afiat. Saya juga memohon kepada Allah agar mengekalkan kesihatan kurniaan-Nya kepada kita semua.
Wujud perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini. Ulama dari mazhab Hanafi, Syafi‘e dan sebahagian ulama mazhab Hambali berpandangan boleh mewakilkan pembayaran zakat sekalipun kepada bukan muslim. Al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 6/165 menyebut:
لَهُ أَنْ يُوَكِّلَ فِي صَرْفِ الزَّكَاةِ الَّتِي لَهُ تَفْرِيقُهَا بِنَفْسِهِ فَإِنْ شَاءَ وَكَّلَ فِي الدَّفْعِ إلَى الْإِمَامِ وَالسَّاعِي وَإِنْ شَاءَ فِي التَّفْرِقَةِ عَلَى الْأَصْنَافِ وكلا هما جَائِزٌ بِلَا خِلَافٍ وَإِنَّمَا جَازَ التَّوْكِيلُ فِي ذَلِكَ مَعَ أَنَّهَا عِبَادَةٌ لِأَنَّهَا تُشْبِهُ قَضَاءَ الديون ولانه قد تدعوا الْحَاجَةُ إلَى الْوَكَالَةِ لِغَيْبَةِ الْمَالِ وَغَيْرِ ذَلِكَ قَالَ أَصْحَابُنَا سَوَاءٌ وَكَّلَهُ فِي دَفْعِهَا مِنْ مَالِ الْمُوَكّلِ أَوْ مِنْ مَالِ الْوَكِيلِ فَهُمَا جَائِزَانِ بِلَا خِلَافٍ قَالَ الْبَغَوِيّ فِي أَوَّلِ بَابِ نِيَّةِ الزَّكَاةِ وَيَجُوزُ أَنْ يُوَكِّلَ عَبْدًا أَوْ كَافِرًا فِي إخْرَاجِ الزَّكَاةِ كَمَا يَجُوزُ تَوْكِيلُهُ فِي ذَبْحِ الْأُضْحِيَّةِ
"Dia (pemilik zakat) boleh mewakilkan pengagihan zakat yang mana ia berhak mengagihkannya sendiri (terdiri dari zakat harta batin seperti zakat fitrah, emas, perak dan seumpamanya). Jika dia mahu, dia boleh mewakilkan kepada imam atau pemungut zakat untuk menyerahkan zakat. Atau jika dia mahu, dia boleh mewakilkan kepada orang lain untuk mengagihkannya kepada golongan yang berhak. Kedua-dua cara ini adalah dibolehkan tanpa sebarang khilaf (perselisihan pendapat). Dibenarkan mewakilkan pengagihan zakat walaupun zakat itu adalah ibadah, kerana zakat menyerupai perbuatan melunaskan hutang. Selain itu, kadang-kala terdapat keperluan untuk mewakilkan, seperti ketiadaan harta (bersama pemilik harta) atau sebab-sebab lain. Para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘e) menyatakan, sama ada seseorang mewakilkan pembayaran zakat itu daripada hartanya sendiri atau harta wakil, kedua-duanya harus tanpa khilaf (tiada perbezaan pendapat). Al-Imam al-Baghawi menyebut pada permulaan bab niat zakat: “Dibenarkan untuk mewakilkan seorang hamba atau seorang kafir dalam mengeluarkan zakat, sebagaimana dibenarkan juga mewakilkan mereka dalam urusan sembelihan haiwan korban."
Kesimpulannya, Ibu atau bapa yang muslim boleh meminta seorang anak yang bukan Islam membayar zakat bagi pihak mereka. Namun perlu diberi penekanan, zakat ini adalah ibadah, ia memerlukan niat dari orang yang wajib mengeluarkan zakat. Oleh itu, jika seorang anak, sama ada seorang muslim atau bukan muslim, mengeluarkan zakat bagi pihak ibu-bapa, tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada orang tuanya, maka nilai yang dikeluarkan bukan zakat, sebaliknya pemberian sedekah biasa.
Baca juga:
Perlu Dapatkan Keizinan Sebelum Membayar Zakat Untuk Orang lain
Perlu Dapatkan Keizinan Dari Kedua Ibu Bapa Untuk Membayar Zakat Mereka
Tidak Wajib Melafazkan Niat Ketika Membayar Zakat