Soalan:
Ustaz Bin Sahak, apakah hukum buat umrah? Wajib atau sunat?
Jawapan:
Pandangan yang lebih kuat ialah WAJIB melaksanakan umrah sekali seumur hidup sama sepertimna haji. Inilah pandangan Imam Syafi'ie, Ahmad, alBukhari dan tarjihan Ibn 'Uthaimin dan Ibn Baz RH.
Penjelasan:
Ulama berbeza pandangan tentang hukum umrah seperti berikut:
1) Digalakkan atau sunat. Inilah pandangan imam Abu Hanifah dan Malik, pandangan pilihan Ibn Taimiyyah RH.
2) Wajib. Inilah pandangan Imam Syafi'ie dan Ahmad, menjadi pandangan pilihan Imam Bukhari RH.
Antara dalil mereka:
1) Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: "Dan laksanakanlah haji dan umrah kerana Allah." (AlBaqarah 166)
Umrah disebut bersama dengan haji yang wajib hukumnya, menjadi bukti umrah itu juga adalah wajib.
2) Hadis riwayat Ibn Majah 2910 daripada 'Aisyah RA yang berkata:
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ ؟ قَالَ: نَعَمْ ، عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لا قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
Maksudnya: "Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah, apakah wajib jihad bagi wanita? Jawab baginda: "Ya, wajib ke atas wanita jihad yang tiada peperangan iaitulah Haji dan Umrah."
Imam Nawawi menyatakan Isnad hadis ini Sahih berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim. Hadis ini juga dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Sahih Ibn Majah. Perkataan nabi عليهن menunjkkan wajib. Inilah juga pandangan sekumpulan sahabat Nabi SAW seperti Ibn 'Abbas, Ibn 'Umar dan Jabir R'anhum.