SDI 0722: Hari Raya Hari Jumaat, Tak Wajib Jumaat Sesiapa Yang Telah Hadir Solat Hari Raya

Soalan: 
 
Benarkan apabila hari raya jatuh hari jumaat spt hari raya haji jumaat ni 1/9/2017, org yang hadir solat raya tak wajib lagi solat jumaat?
 
Jawapan:
 
Di bawah ini saya terjemahkan fatwa dari Jawatankuasa fatwa Arab Saudi:
 
Jawapan Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi:
 
Dalam masalah ini terdapat beberapa hadis yang marfu' dan athar yang mauquf, antaranya:
 
1) Hadis Zaid bin Arqam RA bahawa Mu'awiyah bin Abi Sufyan RA pernah bertanya kepada beliau: "Apakah kamu pernah bersama Rasulullah menyambut dua hari raya (raya fitri atau Adha bersama hari Jumaat) yang berhimpun pada hari yang sama?" Beliau menjawab: "Ya, pernah." Mu'awiyah bertanya lagi: "bagaimana yang baginda lakukan?" Jawab beliau: "Baginda solat hari raya dan baginda memberi kelonggaran pada solat Jumaat. Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu solat (Jumaat), maka lakukanlah." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa'ie, Ibn Majah, al-Darimi dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak. Beliau berkata: "Hadis ini Sahih al-Isnad, dan Imam al-Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkannya. Hadis ini juga terdapat sokongan dari riwayat lain yang memenuhi syarat Muslim. Penilaian al-Hakim ini dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Nawawi di dalam al-Majmu' berkata: "Isnadnya jayyid." 
 
2) Sokongan (شاهد) yang dinyatakan adalah hadis Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesunguhnya telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, maka sesiapa yang mahu, telah memadai baginya dari solat Jumaat, adapun kami akan melaksanakan Jumaat." Riwayat al-Hakim seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud, Ibn Majah, Ibn al-Jarud, al-Baihaqi dan selain mereka. 
 
3) Hadis Ibn 'Umar RA yang berkata: "Pernah berhimpun dua hari raya (hari raya Fitri atau Adha dan hari Jumaat) di zaman Rasulullah SAW. Nabi SAW menunaikan solat hari raya bersama orang ramai, setelah itu baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu hadir menunaikan solat jumaat, maka hadirlah, sesiapa yang tidak mahu hadir maka tidak mengapa." Riwayat Ibn Majah. Al-Tabarani meriwayatkan di dalam al-Mu'jam al-Kabir dengan lafaz: "Pernah berhimpun dua hari raya di zaman Rasulullah SAW, hari raya fitri dan hari Jumaat. Rasulullah menunaikan solat hari raya bersama orang ramai, kemudian baginda menghadap wajah ke arah mereka seraya berkata: "Wahai sekelian manusia, sesungguhnya kamu semua telah memperolehi kebaikan dan pahala yang banyak. Adapun kami akan melaksanakan Jumaat. Sesiapa yang hendak melaksanakan jumaat bersama kami, maka lakukanlah, sesiapa yang hendak pulang, maka pulanglah." 
 
4) Hadis Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "telah berhimpun dua hari raya pada hari ini. Sesiapa yang menghendaki, sudah memadai jumaat darinya. Adapun kami insyaallah akan melaksanakan jumaat." Riwayat Ibn Majah. Kata al-Busiri: "Isnadnya Sahih dan para perawinya thiqat." 
 
5) Mursal Zakwan bin Soleh katanya: "pernah bertembung dua hari raya di zaman Rasulullah SAW. Hari jumaat dan hari raya, baginda menunaikan solat, setelah itu bangun lalu berkhutbah kepada orang ramai, baginda bersabda: "Sesungguhnya kamu semua telah memperolehi zikir dan kebaikan yang banyak. Adapun kami akan melaksanakan jumaat. Sesiapa yang mahu tetap di rumahnya (tidak mahu melaksanakan jumaat), maka tetaplah di rumah. Sesiapa yang mahu melaksanakan jumaat maka lakukanlah." (Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al'Kubra
 
6) Daripada 'Ato' bin Abi Rabah katanya: "Ibn al-Zubair pernah solat hari raya bersama kami pada pagi hari jumaat. Setelah itu (apabila masuk waktu jumaat) kami keluar untuk menunaikan solat jumaat, tetapi beliau tidak keluar kepada kami (untuk solat Jumaat). Maka kami pun solat bersendirian. Ketika itu Ibn Abbas berada di Taif. Ketikamana beliau sampai kepada kami, kami nyatakan hal itu kepadanya. Beliau berkata: "Hal itu menepati sunnah." Riwayat Abu Daud. Ibn Khuzaimah meriwayatkannya dengan lafaz lain yang terdapat tambahan di akhirnya, kata Ibn al-Zubair: "Aku pernah melihat Umar bin al-Khattab apabila bertembung dua hari raya, beliau melakukan seumpama ini." 
 
7) Di dalam Sahih al-Bukhari RH dan Muwattha' al-Imam Malik RH daripada Abi Ubaid Maula Ibn Azhar, kata Abu 'Ubaid: "Aku pernah menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan RA, ketika itu hari Jumaat. Beliau menunaikan solat (hari raya) sebelum berkhutbah, setelah itu berkhutbah. Beliau berkata: "Wahai sekelian manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun pada kamu semua dua hari raya. Sesiapa yang mahu menunggu jumaat dari kalangan orang-pendalaman maka tunggulah. Sesiapa yang pulang maka telah aku izinkan kepadanya."  
 
8) Daripada Ali bin Abi Tolib RA, ketikamana bertempung dua hari raya (raya fitri atau adha dengan hari jumaat) pada hari yang sama, beliau pernah berkata: "Sesiapa yang mahu menunaikan jumaat, maka tunaikanlah. Sesiapa yang mahu tetap di rumah (seperti yang dinyatakan oleh Sufyan), maka lakukanlah." Riwayat Abd al-Razzaq di dalam al-Musannaf dan Ibn Abi Syaibah dengan riwayat yang seumpamanya. 
 
Berdasarkan hadis-hadis marfu' kepada Nabi SAW ini, demikian juga athar-athar mauquf dari beberapa sahabat RA, juga berdasarkan perakuan majoriti ulama tentang kefahaman dari riwayat-riwayat ini, di bawah ini adalah penjelasan hukum dari Jawatankuasa Lujnah al-Daimah:
 
1) Sesiapa yang telah hadir untuk solat hari raya, diberi keringanan untu dia tidak hadir solat Jumaat, dia solat Zohor pada waktu Zohor. Jika dia mengamalkan azimah dengan tetap hadir juga solat jumaat, maka itulah yang lebih utama (Afdjal) 
 
2) Sesiapa yang tidak hadir solat hari raya, dia tidak termasuk dalam kalangan yang diberi keringanan tidak hadir jumaat. Oleh itu tidak gugur kewajipan jumaat darinya, wajib dia hadir ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Jika tidak mendapati jumlah jemaah yang membolehkan solat jumaat, maka ditunaikan solat Zohor. 
 
3) Wajib ke atas imam masjid melaksanakan Jumaat pada hari tersebut, agar boleh disertai oleh sesiapa yang hendak menyertainya atau mereka yang tidak sertai solat hari raya, jika bilangan mencukupi untuk solat jumaat. Jika bilangan tidak mencukupi ditunaikan solat zohor. 
 
4) Sesiapa yang telah hadir solat hari raya dan mengambil keringanan untuk tidak hadir solat jumaat, hendaklah menunaikan solat zohor apabila masuk waktu zohor. 
 
5) Tidak disyariatkan pada waktu ini azan melainkan di masjid-masjid yang didirikan padanya solat jumaat. Tidak disyariatkan juga azan jika hendak ditunaikan solat zohor pada hari tersebut. 
 
6) pandangan yang mengatakan sesiapa yang hadir solat hari raya, gugur darinya solat jumaat dan solat zohor untuk hari tersebut adalah pandangan yang tidak benar. Kerana itu para ulama meninggalkan pandangan ini dan menghukumnya sebagai salah dan ganjil kerana menyelisihi sunnah dan ia menggugurkan salah-satu kefardhuan dari Allah tanpa dalil. Barangkali tidak sampai kepada mereka al-Sunan dan al-Athar dalam masalah ini yang memberi keringanan kepada sesiapa yang telah hadir solat hari raya untuk tidak hadir solat jumaat, dan wajib solat zohor.

Cetak  
Wallahu a'lam