Soalan:
Ustaz apa pandangan ustz ttg video azan sebelum masuk dewan peperiksaan yg terbaru dan dah viralpun.
Jawapan:
Azan ialah pemberitahuan masuknya waktu solat. Inilah yang disebut oleh para ulama. Bila dikatakan أذن المؤذن تأذينا وأذانا ia bermaksud tukang azan memberitahu kepada orang ramai (masuknya) waktu solat. Huraian ini saya ambil dari kitab alMajmu' jilid 3, halaman 80-81 oleh Imam alNawawi RH.
Jika ini definasi yang disebut oleh para ulama. Maka dimanakah logiknya amalan azan sebelum masuk dewan periksa??? Saya tidak nafikan, ada sebahagian para ulama yang meluaskan peranan azan, paling ramai terutamanya para ulama dalam mazhab alSyafi'ie. Namun cuba perhatikan praktik amalan kita. Bukankah untuk solat hari raya, solat gerhana, dan lain-lain kita tidak melaungkan azan? Bagaimana dan mengapa pula perlu dilaungkan azan sebelum masuk dewan peperiksaan??? Sunnah siapa yang kita ambil? Petunjuk siapa yang kita contohi?
Cuba lihat perkataan alImam alNawawi yang merupakah seorang alim besar dalam mazhab alSyafi'ie dalam masalah azan, kata beliau:
"Azan dan iqamah adalah disyariatkan kedua-duanya untuk solat lima waktu berdasarkan yang sahih apa yang dinaskan dan ijmak. Maka tidak disyariatkan azan dan iqamat selain dari solat fardhu lima waktu tanpa ada khilaf. Sama ada solat yang dinazarkan atau solat jenazah, solat sunat, sama ada disunnahkan solat itu berjemaah seperti dua solat hari raya, solat dua gerhana dan istisqa', demikian juga yang tidak disunatkan jemaah seperti Dhuha. Akan tetapi dilaungkan untuk solat hari raya, gerhana dan istisqa dengan: alSolah Jami'ah. Sesungguhnya penulis (al-Syirazi) telah menyatakan di dalam bab-babnya. Demikian juga dilaungkan untuk solat Tarawih: alSolah Jami'ah, jika ditunaikan secara berjemaah. Dan tidak digalakkan untuk solat jenazah berdasarkan pandangan Asah dari dua wajah, dengannya diputuskan oleh alSyeikh Abu Hamid, alBandanijiy, alMahamiliy, pemilik al'Uddah, alBaghawi dan selain mereka semua. Namun alGhazali memutuskan ia adalah digalakkan. Dan alMazhab adalah yang pertama, ia dinaskan. Kata alSyafi'ie RH pada awal kitab azan dari alUmm: "Tiada azan dan tiada iqamah bagi selain solat fardhu. Adapun solat hari raya, gerhana dan qiyam ramadan, maka aku suka dilaungkan: alSolah Jami'ah. Beliau juga berkata: (untuk solat jenazah) alSolah 'ala alJanazah, dan setiap solat sunat selain hari raya dan gerhana, tidak ada azan padanya, tidak ada juga laungan: alSolah Jami'ah. Ini yang dinaskan, wallahu a'lam. (Far'u) kami telah sebutkan bahawa mazhab kami bahawa azan dan iqamah tidak disyariatkan bagi selain solat fardhu yang lima. Inilah pandangan majoriti ulama dari kalangan Salaf dan Khalaf. Salim alRazi dalam kitabnya Ru'us alMasa'il, demikian juga selainya menukilkan daripada Mu'awiyah bin Abi Sufyan dan 'Umar bin 'Abd al'Aziz RA yang berkata: "kedua-duanya (azan dan iqamah) adalah sunnah pada solat dua hari raya. Dan Ini jika sahih daripada mereka berdua, difahami bahawa belum sampai kepada mereka berdua sunnah tentang perkara itu. Kerana ia adalah (pandangan) mazhab yang tertolak." Telah thabit di dalam sahih muslim daripada Jabir bin Samurah RA yang berkata: "Aku pernah solat dua hari raya bersama dengan Nabi SAW bukan sekali mahupun dua kali (banyak kali), tanpa ada azan mahupun iqamah." Dan dalam masalah ini terdapat hadis sahih yang banyak."