Soalan:
Ustaz, boleh ke kalau nk solat gerhana 2x? Ada yang tanya Sb dkt masjid alwi dah siap solat gerhana sebelum zohor, dia nk p masjid seriab, sbb solat gerhana buat Lps zohor di masjid seriab.
Jawapan:
Tidak diulang melakukan solat gerhana. Sunnah dalam melakukan solat gerhana adalah berterusan solatnya sehingga gerhana hilang. Jika solat gerhana telah selesai, namun gerhana masih ada, maka setiap orang dianjurkan memperbanyakkan zikir, berdoa dan istighfar.
Kata al-Imam al-Syafi‘e dalam al-Umm 1/279:
إن صلى صلاة الكسوف فأكملها ، ثم انصرف والشمس كاسفة ، يزيد كسوفها أو لا يزيد : لم يُعِد الصلاةَ ، وخطب الناس ؛ لأنا لا نحفظ أن النبي صلى الله عليه وسلم صلى في كسوف إلا ركعتين
Maksudnya: "Jika telah selesai menyempurnakan solat gerhana matahari, namun matahari masih kekal gerhana, apakah perlu ditambah (diulang) solat gerhana atau tidak perlu lagi: (jawabnya) tidak perlu diulang (ditambah) solat, (sebaliknya) terus berkhutbah kepada orang ramai. Ini kerana kita tidak ketahui Nabi SAW ada menunaikam solat gerhana melainkan dua rakaat sahaja."
Ini juga pandangan mazhab Hambali. Kata al-Imam Ibn Qudamah:
إن فرغ من الصلاة والكسوف قائم : لم يَزِدْ , واشتغل بالذكر والدعاء ; لأن النبي صلى الله عليه وسلم لم يزد على ركعتين
Maksudnya: "Jika telah selesai (solat gerhana), namum gerhana masih ada. Jangan ditambah lagi solat gerhana. Sibukkanlah diri dengan berzikir dan doa. Ini kerana Nabi SAW tidak tambah lebih dari solat dua rakaat sahaja." (al-Mughniy 2/145)
Pandangan yang sama dinyatakan dalam mazhab Maliki.
Al-Imam al-Nawawi ada menukilkan pandangan dalam kalangan Ashab mazhab al-Syafie yang mengatakan boleh ditambah rukuk. Namun beliau memberi komentar dengan berkata:
والصحيح المنع من الزيادة والنقص ، ومن استفتاح الصلاة ثانيا. والله أعلم
Maksudnya: "dan yang sahih ialah dilarang dari melakukan tambahan dan pengurangan demikian juga memulakan solat kedua (kali), wallahu a'lam.” (al-Majmu' 5/54)