SDI 0731: Betulkah Tak Sah Solat Jika Seluruh Dahi & Semua Jari Kaki Tak Rapat Ke Lantai?

 
Soalan: 
 
Ustaz bin sahak. Saya dgr salah satu kuliah dlm youtube dr seorg ustaz bergelar Dato'. Katanya waktu sujud ketika solat wajib semua jari2 kaki mesti ditekan rapatkan ke bumi, jika tidak solat tak sah. Sama juga dgn dahi mesti dikenakan semua dahi ke bumi. Katanya ni ijmak. Betul ker ustaz? Ustaz tu kata ada di sebut dlm kitab fekah islam wa dillatuh.. klu ustaz kelapangan saya mohon jasa baik utk semak. Terima kasih ust.
 
Jawapan:
 
Saya juga ada mendengar kukiah yang dimaksudkan. Apabila saya merujuk kitab yang dinyatakan, ternyata tidak seperti yang didakwa. Terutamanya bab kaki, Ygbhg. Ustaz Dato' yang terbabit mungkin tersilap dalam nukilan. Di bawah bahagian kesimpulan, Dr Wahbab alZuhaili penulis kitab yang dinyatakan menyebut:
 
"Bahawa fardhu sujud di sisi ulama mazhab Hanafi dan Maliki terlaksana dengan meletak sebahagian (juz'an) dari dahi sekalipun sedikit. Dan yang wajib di sisi ulama mazhab Hanafi meletakkan bahagian (dahi) yang paling banyak. Dan terlaksana kefardhuan (sujud) juga dengan meletakkan satu jari dari jari-jari kaki. Jika tidak diletak sedikitpun dari jari kaki, tidak sah sujud..."
 
Dakwaan telah berlaku ijma' tentang mesti sujud atas dahi itu juga berlaku kesilapan nukilan. Yang ijma' adalah kefardhuan sujud. Kata Dr Wahbah alZuhaili:
 
Maksudnya: "Dan para ulama mazhab alSyafi'ie dan mazhab Hambali bersepakat wajibnya sujud di atas kesemua anggota yang tujuh yang dinyatakan di dalam hadis yang lalu. Dan disunatkan meletak hidung bersama dahi di sisi ulama mazhab Syafi'ie, akan tetapi wajib di sisi ulama mazhab Hambali meletakkan sebahagian dari hidung. Ulama mazhab Syafi'ie pula mensyaratkan sujud di atas perut dua kaki dan perut jari-jari kaki, iaitulah memadai meletakkan sebahagian dari setiap satu dari anggota sujud yang tujuh ini seperti dahi. Yang dikira pada dua tangan ialah (meletakkan) perut telapak tangan, sama ada jari-jemari atau telapak tangan. Dan pada dua kaki pula (yang dikira) adalah dengan perut-perut jari, tidak memadai belakang (bahagian atas) jari-jemari dan tidak memadai juga hujung jari-jemari."
 
Kesimpulan:
 
1) Berlaku kesilapan nukilan dari pihak Ygberbahagia Dato' Ustaz berkaitan kefardhuan dalam sujud solat.
2) Tidak berlaku ijma' dalam bab mesti meletakkan dahi ketika sujud. Ini kerana ada pandangan dari mazhab Hanafi boleh letak hidung tanpa dahi. Namun dalam mazhab Syafi'ie wajib meletakkan ketujuh-tujuh anggota tersebut. Yang penting ia bukan ijma'.
3) tidak ada kenyataan perlu ditekan jari-jemari kaki agar telapak kaki turut sentuh ke bumi. Bahkan yang ada hanya menyatakan memadai kenakan sebahagian (juz'an) dari anggota-anggota sujud yang tujuh ke lantai. Kalau sebahagian perut jari-jari kaki kena di lantai TELAH MEMADAI. Inilah pandangan ulama termasuk dalam mazhab Syafi'ie.
4) Kesilapan dalam membuat nukilan ketika berceramah atau berkuliah adalah perkara biasa bagi ustaz manapun. Tanggungkawab kita memperbaiki apa yang silap dan menghormati individu seperti yang berbhagia ustaz Dato' tersebut yang telah banyak jasanya yang lain kepada umat Islam.
5) Semoga penjelasan ini dapat menghilangkan kesukaran ketika solat. Bayangkan bagaimana nak tekan semua jari-jemari ke lantai ketika sujud bagi kenakan sebahagian telapak kaki ke lantai. Ini sudah tentu menyukarkan. Ditambah tiada ulama dalam kalangan ulama mazhab empat yang menganjurkannya.

Cetak  
Wallahu a'lam