Maksud Bulan Dan Tahun Dalam Kitab-Kitab Ashab Syafi'e

Dimaksudkan dengan الأشهر (bulan-bulan) apabila diitlakkan ialah القمرية (bulan-bulan qamariyah), bukan العددية (bulan berdasarkan bilangan hari), melainkan beberapa pengecualian.

Tahun itu ada tiga:

Pertama:  القمرية Qamariyah atau الهلالية Hilaliyah, iaitu: ثَلَاثُمِائَةٍ وَأَرْبَعَةٌ وَخَمْسُونَ يَوْمًا وَخُمُسُ يَوْمٍ وَسُدُسُهُ 

354 hari, 1/5 hari dan 1/6nya. [(1/5 hari = 24 ÷ 5 = 4 jam 8 minit (1/6 hari = 24 ÷ 6 = 4 jam) Jumlah keseluruhan: 354 hari + 4 jam 8 minit + 4 jam = 354 hari 8 jam 8 minit]

Dinisbahkan kepada bulan kerana perhitungannya dengan bulan dari segi berlakunya ijtima' antara bula   dengan matahari, bukan dari segi melihat hilal.

Kedua: ‘Adadiyah, iaitu 360 hari, tidak kurang dan tidak lebih.

Ketiga: Syamsiyah, iaitu 365 hari dan seperempat hari kecuali satu juzuk daripada 300 juzuk daripada sehari. Dinisbahkan kepada matahari kerana perhitungannya berdasarkan matahari, dari saat ia masuk ke dalam buruj al-Hamal hingga ia kembali kepadanya.

Perbezaan antara qamariyah dan syamsiyah sebagaimana dalam al-Jamal adalah 10 hari penuh, 4/5 hari, dan 2/5 daripada 1/5 hari.   

Setiap yang datang dalam kitab-kitab fiqh daripada sebutan tahun (السنين) atau bulan (الشهور), maka yang dimaksudkan ialah hilali atau qamari, kecuali dalam beberapa permasalahan yang dimaksudkan kepada العددي.

Berkata al-Jamal dalam hasyiahnya:

السنة إذا أطلقت حملت على الهلالية فإن قيد بالعددية أو الشمسية أو غير ذلك تقيد

“Tahun apabila disebut secara mutlak maka ia difahami kepada hilaliyah. Jika diikat dengan ‘adadiyah atau syamsiyah atau selain itu maka diikatlah.”

Berkata al-Syubari (الشوبري) dalam Syarh al-Tahrir:

اعلم أن الشهر متى أطلق في كلام الفقهاء فالمراد به الهلالي إلا في ثلاثة مواضع في المميزة الفاقدة شرطا، وهي المذكورة هنا وفي المتحيرة وفي الحمل بالنظر لأقله وغالبه، فإن الشهر في هذه المواضع عددي أعني ثلاثين

“Ketahuilah bahawa bulan apabila disebut secara itlaq dalam kalam fuqaha’, maka yang dimaksudkan ialah hilali, kecuali pada tiga tempat: berkaitan al-mumayyizah yang kehilangan satu syarat, iaitu yang disebutkan di sini, berkaitan al-mutahayyirah, dan al-haml dengan melihat pada yang paling sedikit dan yang biasa, maka bulan dalam tempat-tempat ini adalah 'adadi, yakni tiga puluh.”

Termasuk dalam perkara ini:

Tempoh paling sedikit bagi kehamilan adalah enam bulan 'adadiyah, bukan qamariyah dan bukan hilaliyah, sebagaimana diteliti oleh al-Bulqini, sebagaimana disebut dalam al-Tuhfah, iaitu 180 hari.            

Tempoh kebiasaan (ghalib) kehamilan adalah sembilan bulan 'adadiah sebagaimana telah dinukil daripada al-Syubari.

Jika seorang wanita mendakwa kelahiran janin yang berbentuk, maka (usia janis itu) empat bulan 'adadiyah, iaitu 120 hari.

‘Iddah al-mustahadah al-mubtada’ah ghair al-mumayyizah, dan seumpamanya iaitu al-mumayyizah yang kehilangan satu syarat, maka dikembalikan tentang haid kepada tempoh paling sedikit, dan dalam satu qaul kepada tempoh biasa (ghalib), dan bagi suci kepada baki bulan, iaitu tiga puluh hari dari saat ia melihat darah, maka habis ‘iddahnya dengan tiga bulan 'adadiyah.

Dalam ‘iddah, bulan yang tidak genap, pertimbangannya adalah dengan bilangan (العدد), maka ia disempurnakan tiga puluh walaupun bulan itu dua kali kurang.


Cetak  
Wallahu a'lam