SDI 1903: Kesukaran Yang Mendatangkan Keringanan

Soalan:

Bilakah seseorang kesukaran yang dihadapi membolehkan kita melakukan jamak solat?

Jawapan:

Kesukaran dalam ibadah itu sama ada kebiasaannya bersifat tetap (ملازمة), dan ada yang tidak. Perkara ini boleh dibahagikan kepada dua kategori:

Pertama: Seperti berwudhu’ dengan air sejuk pada musim sejuk, berpuasa pada musim panas, dan melakukan perjalanan untuk haji… maka kesukaran seperti ini yang melazimi sesuatu ibadah tidak memberi kesan untuk menggugurkan ibadah dan tidak juga mendatangkan keringanan (rukhsah). Jika ia memberi kesan (yakni jika ia dapat menggugurkan atau mendatatangkan keringanan), nescaya akan hilanglah maslahah-maslahah ketaatan dan ibadah dalam semua waktu atau pada kebanyakannya.

Tiada yang dikecualikan daripada hal ini melainkan tayammum ketika bersangatan sejuk, berdasarkan hadis ‘Amr bin al-‘Ās yang khusus tentangnya. Maka kategori ini, tidak terpisah daripada ibadah.

Kedua: Iaitu kesukaran yang biasanya terpisah dari sesuatu ibadah; ia mempunyai tiga peringkat juga:

1. Kesukaran yang ringan sekali hingga tiada nilai padanya; seperti sakit kepala yang ringan, atau kesakitan yang sangat sedikit pada jari, atau sedikit gangguan kesihatan… maka ini tidak memberi kesan —dan tidak dipedulikan— menurut jumhur, kerana maslahah memperoleh ibadah lebih utama daripada menolak mudarat kecil yang tidak memberi kesan ini.

2. Sangat berat dan membinasakan; seperti masyaqqah kerana takut terhadap keselamatan diri, anggota tubuh, atau manfaat anggota… maka inilah tempatnya datangnya rukhsah dan keringanan; kerana memelihara jiwa dan anggota bagi menegakkan maslahah agama dan dunia lebih utama daripada mendedahkannya kepada kebinasaan dalam melakukan sesuatu ibadah atau beberapa ibadah, sedangkan hilangnya (jiwa dan anggota) akan menyebabkan hilang pula manfaat-manfaat besar yang setara dengannya.

3. Pertengahan, di antara ringan dan berat; iaitu berada antara dua tahap tersebut dalam kadar kesukaran. Maka ia dilihat berdasarkan dekatnya kepada salah satu daripada dua keadaan itu:

Jika ia lebih hampir kepada tahap yang paling berat, maka ia mendatangkan keringanan.

Jika ia lebih hampir kepada tahap yang paling ringan, maka ia tidak mendatangkan keringanan, kecuali menurut Ahl al-Zahir. Para ulama memberikan contoh dengan demam ringan dan sakit gigi yang sedikit.

Maka diketahui bahawa apa yang berada antara dua peringkat ini menimbulkan perbezaan pendapat: sebahagian mengaitkannya dengan peringkat tinggi (berat), dan sebahagian mengaitkannya dengan peringkat rendah (ringan), dan tiada kadar yang dapat ditetapkan untuknya melainkan berdasarkan anggaran. Demikian disebut oleh al-‘Allā’ī (العلائي) dalam Qawā‘idnya. (Hasyiah al-Syeikh al-Syarbini dengan beberapa tambahan)

 


Cetak  
Wallahu a'lam