AL-MASĀLIH AL-MURSALAH

AL-MASĀLIH AL-MURSALAH (المصالح المرسلة)

  1. PENGENALAN (التمهيد)

Ia mengandungi dua perkara:

  1. Hubungan erat (kaitan) antara maslahah dan syariah.

Penjelasannya dalam empat perkara di bawah ini yang sebahagiannya saling berkait antara satu sama lain.

  1. Syariah Islam dibina atas dasar bertujuan merealisasikan masalih (kebaikan-kebaikan manfaat-manfaat) kepada para hamba dan menolak keburukan daripada mereka di dunia dan akhirat (تحقيق مصالح العباد ودرء المفاسد عنهم في الدنيا والآخرة).

Maka, Syari’ (Allah SWT dan Rasul SWT yang menyampaikan kehendak Allah) tidak akan mengeluarkan perintah melainkan pada perintah tersebut terdapat maslahah yang murni (خالصة) atau yang bersifat lebih dominan (راجحة). Demikian juga Syari’ tidak akan melarang sesuatu melainkan padanya terdapat keburukan yang sebenar atau yang bersifat lebih dominan. Prinsip ini merangkumi keseluruhan ajaran syariah dan tiada satu pun hukum-hakam syariat yang terkeluar dari prinsip ini.

 

  1.  Syariah Islam tidak pernah mengabaikan sebarang maslahah sama sekali. Maka, tiada suatu kebaikan pun melainkan Nabi telah menganjurkan kita kepadanya, dan tiada suatu keburukan pun melainkan Baginda telah memberi amaran daripadanya.

 

  1. Tidak mungkin akan berlaku percanggahan antara syarak dan maslahah, kerana tidak mungkin dapat diterima syarak akan melarang sesuatu yang terdapat padanya maslahah sama ada maslahah yang murni atau yang bersifat dominan. Demikian juga tidak mungkin dapat diterima syarak akan memerintahkan sesuatu yang padanya terdapat keburukan sama ada keburukan yang total atau yang bersifat dominan.

 

  1. Sesiapa yang mendakwa wujudnya satu maslahah yang tidak disebut oleh syarak, maka orang itu pasti berada dalam salah satu dari dua keadaan ini:

 

  1. Syarak sebenarnya telah menunjukkan maslahah itu, cuma si pendakwa tidak mengetahuinya; atau

 

  1. Perkara yang disangka sebagai maslahah itu sebenarnya bukanlah berupa satu maslahah. Betapa, wujudnya sebahagian perbuatan yang dianggap oleh manusia sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah tetapi tidak disyariatkan oleh-Nya, maka pasti kemudaratannya lebih besar daripada manfaatnya. Jika manfaatnya lebih besar, nescaya syarak tidak akan mengabaikannya

 

  1.  Pembahagian Mutlaq al-Maslahah.

Berdasarkan pengiktirafan syarak, Maslahah terbahagi kepada tiga bahagian:

  1. (المصلحة المعتبرة شرعًا) atau maslahah yang diiktiraf oleh syarak.

Maslahah yang diiktiraf oleh syarak: Iaitu maslahah syarak yang terdapat dalil-dalil syarak memerintahkannya sama ada dari al-Quran, sunnah, ijmak, atau qiyas. Contohnya seperti solat.

  1. (المصلحة الملغاة شرعًا) atau maslahah yang dibatalkan oleh syarak.

Maslahat yang dibatalkan oleh syarak: Iaitu maslahat yang dilihat oleh manusia, berdasarkan pandangan akal yang terbatas sebagai maslahah, tetapi telah dibatalkan dan diabaikan oleh syarak, bahkan terdapat dalil dari al-Quran, sunnah, ijmak, atau qiyas yang melarangnya.

Contohnya seperti maslahah yang ada dalam arak. Pada pandangan syarak, kadar maslahah yang ada padanya adalah keburukan (mafsadah). Disebut "maslahah" itu hanyalah menurut pandangan lemah manusia atau berdasarkan sisi maslahah yang lemah (tidak dominan), maka ia dianggap sebagai maslahah yang dibatalkan oleh syarak.

  1. (المصلحة المسكوت عنها) atau maslahah yang tidak disebut secara jelas oleh syarak.

Maslahat yang tidak disebut secara khusus oleh syarak:
Iaitu maslahah yang tidak ada dalil khas dari al-Quran, sunnah, ijmak atau qiyas yang mengiktirafnya atau membatalkannya, tetapi ia tidak sunyi dari dalil umum kulli (
دليل عام كلي) yang menyokongnya. Oleh itu, ia tidak bergantung kepada dalil khusus, sebaliknya kepada maqasid syariah dan prinsip umum syariat. Inilah yang disebut sebagai maṣlaah mursalah (maslahat yang dibiarkan).

Ia dinamakan maslahah mursalah kerana ia “dibiarkan”, iaitu dibiar tanpa diikat dengan dalil khusus sama ada menyokong atau menolaknya.

 

  1. TAKRIF MASLAHAH MURSALAH

Daripada apa yang disebutkan di atas, dapat diberikan takrifan untuk maslahah mursalah sebagai:

ما لم يشهد الشرع لاعتباره ولا لإلغائه بدليل خاص، وتسمى وبالمناسب المرسل


"Suatu yang tidak disokong oleh dalil syarak untuk menerimanya mahupun menolaknya secara khusus." Ia juga dikenali sebagai istislah (
الاستصلاح) atau munāsib mursalah (المناسب المرسل).

 

  1. PEMBAHAGIAN MASLAHAH MURSALAH

3.1        Maslahah mursalah dari sudut asal atau asas yang ingin dipelihara, terbahagi kepada lima bahagian:

  1. Maslahah yang merujuk kepada menjaga agama.
  2. Maslahah yang merujuk kepada menjaga nyawa.
  3. Maslahah yang merujuk kepada menjaga akal.
  4. Maslahah yang merujuk kepada menjaga keturunan.
  5. Maslahah yang merujuk kepada menjaga harta.

Kelima-lima perkara ini dinamakan sebagai “al-arūriyyāt al-Khams” (الضروريات الخمس), atau juga dikenali sebagai maqāṣid al-syarī‘ah (مقاصد الشريعة), iaitu perkara-perkara yang telah diketahui secara jelas dari Syari’ الشارع (Allah dan Rasul) sangat mengambil berat dalam semua hukum-hukum yang ditetapkan.

Malah, adalah mustahil Allah SWT dan Rasul SAW mengabaikannya dalam mana-mana hukum yang ditetapkan, kerana seluruh perintah dan tegahan syariah berlegar sekitar memelihara dan melindungi kelima-lima perkara tersebut, iaitulah untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalil perkara ini berdasarkan istiqrā’ yang sempurna dan mendalam terhadap nas-nas al-Quran, al-Sunnah, petunjuk-petunjuk atau bukti-bukti keadaan serta dari pelbagai tanda yang berbagai-bagai.

3.2        Maslahah mursalah juga terbahagi kepada tiga ketegori berdasarkan tahap kekuatannya:

  1. Maslahah arūriyyah المصلحة الضرورية (Maslahah Asas). Disebut juga sebagai menolak kemudaratan درء المفاسد. Ia merujuk kepada maslahah yang berada di tahap keperluan mendesak, di mana jika maslahah ini terabai, akan menyebabkan kerosakan kepada salah satu atau keseluruhan daripada al-arūriyyāt al-khams. Ini merupakan maslahah yang paling tinggi, seperti pengharaman membunuh dan kewajipan melaksanakan qisas.
  2. Maslahah ājiyyah المصلحة الحاجية (Maslahah keperluan). Disebut juga sebagai جلب المصالح menarik manfaat. Ia adalah maslahah yang tidak sampai ke tahap darurat dan asas, tetapi berada pada kedudukan sesuatu yang diperlukan untuk memudahkan keberhasilan manfaat dan memperoleh manfaat. Jika ia tiada, tidak akan menyebabkan terabainya apa-apa keperluan asas atau arūriyyāt. Contohnya seperti akad sewa-menyewa dan sistem musāqah (perkongsian hasil tanaman).
  3. Maslahah Tasīniyyah المصلحة التحسينية (Maslahah memperelokkan). Disebut sebagai التتميمات perkara-perkara penyempurna, iaitu maslahah yang bukan bersifat daruriyat mahupun hajiyyat, tetapi berada dalam ruang memperindahkan akhlak dan mengikut jalan yang terbaik. Contohnya seperti pengharaman najis.

 

  1. HUKUM BERHUJAH DENGAN MASLAHAH MURSALAH

Mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan (جلب المصالح ودرء المفاسد) merupakan prinsip atau asas yang disepakati oleh para ulama. Namun mereka berbeza pendapat dalam isu maslahah mursalah. Dalam kalangan mereka ada yang berpendapat bahawa maslahah mursalah termasuk dalam bab Jalb al-Masalih wa Dar’ al-Mafasid atau mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan, maka mereka menganggapnya sebagai satu dalil dan berhujah dengannya. Namun, Sebahagian ulama lain  berpendapat Maslahah Mursalah bukan dari bab Jalb al-Masalih wa Dar’ al-Mafasid, bahkan menganggap maslahah mursalah sebagai bentuk meletakkan hukum syarak menurut akal fikiran dan hawa nafsu. Mereka mengatakan bahawa Maslahah Mursalah bukan satu dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah serta tidak perlu dirujuk.

Syeikh al-Syinqiti berkata:

فالحاصل أن الصحابة رضي الله عنهم كانوا يتعلقون بالمصالح المرسلة التي لم يدل دليل على إلغائها، ولم تعارضها مفسدة راجحة أو مساوية. وأن جميع المذاهب يتعلق أهلها بالمصالح المرسلة، وإن زعموا التباعد منها. ومن تتبع وقائع الصحابة وفروع المذاهب علم صحة ذلك. ولكن التحقيق أن العمل بالمصلحة المرسلة أمر يجب فيه التحفظ وغاية الحذر حتى يتحقق صحة المصلحة وعدم معارضتها لمصلحة أرجح منها، أو مفسدة أرجح منها أو مساوية لها، وعدم تأديتها إلى مفسدة في ثاني حال

"Kesimpulannya, para sahabat RA berpegang kepada maslahah mursalah yang tidak ada dalil yang membatalkannya dan yang tidak bertembung dengan kemudaratan yang lebih besar atau seimbang dengannya. Demikian juga semua mazhab berpegang kepada maslahah mursalah, walaupun mereka mendakwa tidak menggunakannya. Sesiapa yang meneliti peristiwa-peristiwa di zaman sahabat dan cabang-cabang mazhab yang berbagai akan mengetahui kebenaran hal ini. Namun berdasarkan penelitian, beramal dengan maslahah mursalah memerlukan ketelitian dan sangat berhati-hati sehingga benar-benar dapat dipastikan benarnya maslahah tersebut dan tiada pertentangan dengan maslahah yang lebih besar atau kemudaratan yang lebih besar atau yang seimbang dengannya, serta tidak membawa kepada kemudaratan di masa hadapan."[1]

Dengan itu jelas menunjukkan bahawa perbezaan dalam berhujah dengan maslahah mursalah hanyalah perbezaan istilah, kerana semua mazhab bersetuju bahawa menghasilkan manfaat dan menyempurnakannya, menolak kemudaratan dan mengurangkannya adalah satu prinsip asas syarak yang tetap. Cuma perbezaan berlaku pada menamakan usaha menggunakan prinsip asas ini (menghasilkan manfaat dan menolak mudharat) dan perlaksanaannya dalam perkara yang tiada dalil khusus mengesahkan atau menolaknya sebagai maslahah mursalah. Sebahagian ulama menamakannya maslahah mursalah, manakala yang lain menamakannya sebagai qiyas, keumuman, ijtihad, atau beramal dengan maqasid al-syariah.

Antara yang dapat mengukuhkan bahawa perbezaan ini hanya istilah, ialah bahawa mereka yang mengiktiraf maslahah mursalah hanya mengamalkannya berdasarkan syarat-syarat (الضوابط) berikut:

  1. Maslahah itu tidak bercanggah atau bertentang dengan nas atau ijmak.
  2. Maslahah tersebut membawa kepada penjagaan dan pemeliharaan maqasid syariah.
  3. Maslahah itu bukan dalam hukum-hukum yang tidak boleh berubah seperti kewajiban perkara yang wajib, pengharaman perkara haram, hudud, kadar-kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak. Ini termasuk hukum-hukum yang telah dinyatakan secara jelas dalam nas, yang berlaku ijmak, serta perkara yang tiada ruang ijtihad.
  4. Maslahah itu tidak bertentangan dengan maslahah yang lebih besar atau seimbang dengannya, dan tidak membawa kepada kemudaratan yang lebih besar atau seimbang dengannya.

Ibn Qayyim berkata:

فالأعمال إما أن تشتمل على مصلحة خالصة أو راجحة، وإما أن تشتمل على مفسدة خالصة أو راجحة، وإما أن تستوي مصلحتها ومفسدتها. فهذه أقسام خمسة: منها أربعة تأتي بها الشرائع. فتأتي بما مصلحته خالصة أو راجحة آمرة به أو مقتضية له. وما مفسدته خالصة أو راجحة فحكمها فيه النهي عنه وطلب إعدامه. فتأتي بتحصيل المصلحة الخالصة والراجحة أو تكميلها بحسب الإمكان، وتعطيل المفسدة الخالصة أو الراجحة أو تقليلها بحسب الإمكان. فمدار الشرائع والديانات على هذه الأقسام الأربعة

"Amalan itu sama ada mengandungi maslahah yang sebenarnya atau yang lebih dominan, atau mengandungi kemudaratan yang nyata atau yang lebih dominan, atau sama antara maslahah dan mafsadahnya. Maka ada lima jenis keadaan: empat daripadanya disokong oleh syariah. Syariah menyeru kepada apa yang maslahahnya yang sebenar atau yang dominan, dan melarang dari apa yang kemudaratannya nyata atau yang lebih dominan dan memerintahkan mentiadakannya. Syariah datang untuk menghasilkan maslahah yang sebenar atau yang dominan dan menyempurnakannya menurut kemampuan, serta menolak kemudaratan yang sebenar atau yang dominan dan mengurangkannya menurut kemampuan. Jadi asas syariat dan agama terletak pada empat bahagian ini."

 

  1. Dalil-Dalil Pengiktirafan Terhadap Maslahah Mursalah

Antara dalil-dalil pengiktirafan maslahah mursalah ialah:

  1. Amalan para sahabat RA yang menggunakan maslahah mursalah dalam banyak peristiwa yang tersebar.
  2. Bahawa beramal dengan maslahah mursalah adalah termasuk dalam perkara yang tanpanya kewajiban tidak dapat dilaksanakan, maka ia menjadi wajib.
  3. Memelihara lima maqasid syariah telah terbukti melalui istiqra’ (pemerhatian menyeluruh) sebagai satu kewajiban, dan penjagaan itu hanya dapat dilaksanakan dengan mengamalkan maslahah mursalah serta membina hukum di atas dasarnya.

 

 



[1] Al-Masalih al-Mursalah oleh al-Syanqiti, 21 dan Muzakkirah al-SYanqiti 170


Cetak  
Wallahu a'lam