SDI 1706: Mendepani Sangkaan Bagaimana Membenteras Syirik Sedangkan Non Muslim Masih Mengamalkan Syirik

Dakwah Jumlah paparan: 240

Soalan:

Bagaimana kita mendepani setengah pemikiran@sangkaan yang mengatakan apabila kita ingin membebaskan perkara-perkara syirik dalam negara tetapi dalam masa yang sama agama-agama lain yang mengamalkan perkara-perkara syirik yang jelas tidak dikenakan sekatan dan halangan?

Jawapan:

Dengan kehendak Allah SWT, adanya manusia yang mentauhidkan Allah, ada pula mereka yang mensyirikkan-Nya. berfirman dalam surah Hud: 118-123:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (118) إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (119) وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنبَاءِ الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ ۚ وَجَاءَكَ فِي هَٰذِهِ الْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌ وَذِكْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ (120) وَقُل لِّلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ اعْمَلُوا عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنَّا عَامِلُونَ (121) وَانتَظِرُوا إِنَّا مُنتَظِرُونَ (122) وَلِلَّهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (123)

118. Dan sekiranya Tuhanmu menghendaki, nescaya Dia jadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, 119. kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Dia menciptakan mereka. Dan telah sempurna kalimat Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia semuanya." 120. Dan semua kisah para rasul yang Kami ceritakan kepadamu adalah agar dengannya Kami teguhkan hatimu. Dan dalam surah ini telah datang kepadamu kebenaran, serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman. 121. Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: "Berbuatlah menurut kedudukanmu, sesungguhnya kami pun berbuat (menurut kedudukan kami)." 122. Dan tunggulah (kesudahan perbuatan kami), sesungguhnya kami pun menunggu (kesudahan perbuatan kamu)."123. Dan milik Allah-lah segala rahasia langit dan bumi, dan kepada-Nya-lah segala urusan dikembalikan. Maka sembahlah Dia dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan Tuhanmu tidak lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.

Dunia adalah tempat ujian (دار الابتلاء). Manusia diuji, yang beriman diuji, yang kafir juga diuji. Ujian terbesar kepada orang kafir ialah tentang ketuhanan ialah apakah semnbahan mereka kepada tuhan selain Allah itu memiliki bukti? Jika mereka terima Allah sebagai tuhan yang utama sepertimana keyakinan golongan musyrikin Mekah, apakah ada bukti Allah menyuruh mereka menyembah sembahan selain-Nya. Kalau mereka hanya percaya kepada tuhan selain Allah tersebut, apakah ada bukti pula tuhan itu menyuruh mereka menyembahnya? Allah SWT berfirman dalam surah al-Hajj: 71:

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَمَا لَيْسَ لَهُم بِهِ عِلْمٌ ۗ

"Dan mereka menyembah selain Allah sesuatu yang Allah tidak menurunkan keterangan tentangnya, dan sesuatu yang mereka sendiri tidak memiliki ilmu mengenainya."

Dalam surah Ali Imran: 151, Allah SWT berfirman:

سَنُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ بِمَا أَشْرَكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا ۖ وَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۚ وَبِئْسَ مَثْوَى الظَّالِمِينَ (151

Kami akan menanamkan rasa takut dalam hati orang-orang kafir disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan keterangan tentangnya. Tempat kembali mereka adalah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.”

Setelah penjelasan jelas Allah taala berikan kepada manusia, maka mereka diberi pilihan sama ada hendak beriman atau hendak memilih kafir dengan ancaman dari Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahf: 29:

 وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِن يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا

"Dan katakanlah (Muhammad), 'Kebenaran itu datang dari Tuhanmu. Maka barang siapa yang ingin (beriman), hendaklah dia beriman; dan barang siapa yang ingin (kafir), biarlah dia kafir.' Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka bagi orang-orang zalim, yang gejolaknya mengepung mereka. Jika mereka meminta pertolongan, mereka akan diberi air seperti cairan tembaga yang mendidih, yang akan membakar muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling hina."

            Manusia hidup dengan pilihannya, sama ada iman atau kafir. Allah izinkan mereka memilih, selagi mereka berada di dunia sebagai tempah ujian ini mereka diberikan hak yang sepatutnya. Justeru hak-hak umum dan khusus bagi non muslim terpelihara dalam negara Islam. Inilah ciri-ciri keadilan Islam. Di mana hak dan kewajipan dalam konsep Islam berasal daripada Allah SWT, bukan menurut nafsu manusia. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hadid: 25:

لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلَنَا بِٱلۡبَیِّنَـٰتِ وَأَنزَلۡنَا مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡمِیزَانَ لِیَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَأَنزَلۡنَا ٱلۡحَدِیدَ فِیهِ بَأۡسࣱ شَدِیدࣱ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِیَعۡلَمَ ٱللَّهُ مَن یَنصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِٱلۡغَیۡبِۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِیٌّ عَزِیزࣱ

"Sesungguhnya Kami telah mengutus para rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang jelas, dan Kami turunkan bersama mereka kitab suci dan neraca (keadilan), supaya manusia dapat menegakkan keadilan. Dan Kami turunkan besi, yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, agar Allah mengetahui siapa yang menolong-Nya dan rasul-rasul-Nya tanpa melihat-Nya (dengan keimanan). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa."

Antara hak yang diperakui dalam Islam kepada orang bukan Islam ialah hak beribadah menuruk keyakinan mereka serta mengamalkan agama mereka. Allah SWT berfirman:

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ

“Tidak ada paksaan dalam agama; sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Surah Al-Baqarah: 256)

Ayat ini menegaskan bahawa Islam menghormati kebebasan beragama dan tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam. Prinsip ini menjadi asas kepada keadilan dan toleransi Islam dalam melindungi hak semua individu, termasuk mereka yang bukan Islam, di dalam sebuah negara yang berpaksikan syariah.

Bahkan Allah SWT melarang mencela sembahan orang bukan Islam, kerana nanti akan saling cela-mencela antara mereka yang berlainan agama akhirnya akan menghilangkan keharmonian bernegara yang menjadi asas syariah Islam. Allah berfirman:

وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللّهِ فَيَسُبُّواْ اللّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

 

"Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan yang mereka (orang bukan Islam) sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." (al-An‘am: 108)

Ayat ini mengajar kita semua mengamalkan prinsip toleransi dan hikmah dalam berdakwah. Islam melarang umatnya menghina atau memaki sembahan-sembahan orang bukan Islam, kerana tindakan tersebut boleh mencetuskan permusuhan dan membuat mereka menghina Allah SWT secara jahil.

Ayat ini juga menegaskan bahawa setiap umat memiliki persepsi mereka sendiri terhadap amalan dan kepercayaan mereka, namun pada akhirnya, semua akan kembali kepada Allah SWT untuk diadili.

Pengajaran utama:

  1. Hikmah dan toleransi dalam berinteraksi dengan bukan Islam.
  2. Menjaga kehormatan dialog agar tidak menimbulkan permusuhan.
  3. Menyerahkan urusan penghakiman kepada Allah SWT sebagai penentu yang sebenar.

Di bawah ini dikongsikan juga fatwa daripada Majlis Fiqh Islam Antarabangsa berkaitan hak dan kewajipan warga negara bukan Islam dalam negara Islam:

Majlis  Fiqh Islam Antarabangsa, yang merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dalam sesi ke-22 yang diadakan di Negara Kuwait pada 2-5 Jumada al-Akhirah 1436H, bersamaan 22-25 Mac 2015,

Setelah meneliti kertas kerja yang dibentangkan kepada majlis mengenai hak dan kewajipan warganegara bukan Islam di negara Islam serta tahap penerapan hukum syariah ke atas mereka, dan setelah mendengar perbincangan yang berlangsung mengenainya.

Keputusan Majlis Majma' Fiqh Islam Antarabangsa adalah seperti berikut:

Pertama:
Syariah Islam menjamin hak-hak umum dan khusus bagi bukan Islam yang tinggal di negara Islam, sebagaimana ia menjamin hak-hak tersebut kepada umat Islam. Mereka memiliki hak yang sama dengan warganegara Muslim dan memikul tanggungjawab yang sama. Mereka setara dalam hak dan kewajipan.

Kedua:
Bukan Islam mempunyai hak untuk melaksanakan hukum agama mereka dalam urusan ibadah dan ahwal syakhsiah mereka. Mereka juga boleh melantik hakim daripada kalangan mereka untuk menyelesaikan pertikaian sesama mereka, dan negara akan melaksanakan keputusannya. Selain daripada itu, undang-undang negara akan diterapkan.

Ketiga:
Masyarakt Bukan Islam yang tinggal di negara Islam diwajibkan mematuhi peraturan awam dan norma masyarakat, sama seperti umat Islam. Mereka dilarang melakukan sesuatu yang bercanggah dengan peraturan ini dan mesti menunjukkan kesetiaan (al-wala’)  kepada negara tempat mereka tinggal dan memegang kerakyatannya.

Keempat:
Media dalam semua bentuknya perlu memberi perhatian untuk menjelaskan hak-hak bukan Islam dalam negara Islam sebagaimana yang dijamin oleh syariah Islam. Ini bertujuan menyebarkan budaya Islam, menzahirkan sikap toleransi dan keadilan Islam, serta menzahirkan elemen ini dalam kurikulum pendidikan.

Kelima:
Menjadi kewajipan pihak Media dalam semua bentuknya mengelak dari menimbulkan sebarang fitnah dan ketegangan kaum dalam kumpulan masyarakat yang berbeza demi menjaga keselamatan dan keharmonian negara.

Oleh itu untuk mendepani kekeliruan ini, perlu dijelaskan beberapa point di bawah ini;

1. Memahami Konsep Syirik dan Tanggungjawab

Dalam Islam, syirik adalah dosa besar yang mesti dihindari oleh umat Islam. Namun, tanggungjawab membanteras syirik adalah khusus untuk umat Islam itu sendiri.

Hal ini berdasarkan ayat al-Quran dalam surah Al-Baqarah, ayat 256: "Tidak ada paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah jelas antara yang benar dan yang salah."

2. Kebebasan Beragama di Negara Majmuk

Dalam konteks negara yang mempunyai pelbagai agama, kebebasan beragama adalah hak yang dijamin oleh undang-undang. Prinsip ini membolehkan agama-agama lain mengamalkan kepercayaan mereka selagi tidak melanggar undang-undang dan norma masyarakat.

Oleh itu, larangan terhadap amalan agama lain yang dianggap syirik dalam Islam tidak boleh dikenakan kerana ia melibatkan hak mereka.

3. Tumpu kepada Pemerkasaan Akidah Umat Islam

Pendekatan yang lebih berkesan ialah memperkukuhkan akidah umat Islam agar mereka faham dan dapat menjauhi syirik.

Aktiviti dakwah, pendidikan agama, dan pencerahan terhadap bahaya syirik boleh dijadikan keutamaan tanpa perlu mengganggu kepercayaan agama lain.

4. Membezakan antara Dakwah dan Paksaan

Menyeru kepada kebenaran dan menegakkan tauhid mestilah dilakukan dengan hikmah dan kasih sayang. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 125: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."

Sebarang usaha mendakwahkan Islam tidak seharusnya menimbulkan kekerasan atau konflik.

5. Menguatkuasakan Undang-Undang Secara Adil

Undang-undang mestilah dikuatkuasakan secara adil terhadap semua rakyat, termasuk dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama.

Jika ada amalan yang melanggar ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti agama lain, tindakan boleh diambil berdasarkan undang-undang yang sedia ada tanpa mengkhususkan kepada satu agama sahaja.

6. Dialog Antara Agama

Mengadakan dialog antara agama untuk membina persefahaman dan penghormatan terhadap kepercayaan masing-masing. Ini dapat mengelakkan salah faham dan ketegangan.

Kesimpulan: Fokus utama ialah memperkukuhkan umat Islam untuk menghindari syirik sambil menghormati hak agama lain. Pendekatan yang berhikmah, tanpa paksaan, dan dengan pemahaman mendalam tentang keadilan serta kebebasan beragama adalah jalan terbaik dalam situasi negara majmuk.

 

Cetak
Wallahu a'lam