SDI 1761: Nabi Muhammad SAW Menjadi Imam Kepada Semua Para Nabi Di Malam Isra' Dan Mikraj

Akidah Jumlah paparan: 332

Soalan: 

Benarkan kisah Nabi SAW menjadi imam solat kepada para Nabi di masjid al-Aqsa sebelum naik ke langit pada malam Isra’ dan Mi’raj? Bagaimana pula baginda menjadi imam kepara para Nabi yang semuanya telah meninggal dunia?

Jawapan:

Nabi Muhammad ﷺ Menjadi Imam Solat Untuk Para Nabi di Baitul Maqdis

Telah thabit bahawa Nabi Muhammad ﷺ menjadi imam kepada para nabi di Baitul Maqdis. Pandangan yang lebih jelas, kejadian itu berlaku setelah baginda turun dari langit. Nabi ﷺ bersabda dalam Sahih Muslim:

فَحَانَتِ الصَّلَاةُ فَأَمَمْتُهُمْ

"Maka masuk waktu solat, lalu aku menjadi imam kepada mereka," iaitu masuk waktu solat Subuh, dan peristiwa mikraj berlaku pada waktu malam.

Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya (5/31):

وَالصَّحِيحُ: أَنَّهُ إِنَّمَا اجْتَمَعَ بِهِمْ فِي السَّمَاوَاتِ، ثُمَّ نَزَلَ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ ثَانِيًا وَهُمْ مَعَهُ، وَصَلَّى بِهِمْ فِيهِ، ثُمَّ إِنَّهُ رَكِبَ الْبُرَاقَ، وَكَرَّ رَاجِعًا إِلَى مَكَّةَ

"Yang sahihnya, baginda hanya berhimpun dengan mereka di langit, kemudian turun semula ke Baitul Maqdis bersama mereka, lalu solat menjadi imam bersama mereka di situ. Setelah itu, baginda menunggang Buraq dan kembali ke Makkah." Tamat petikan.

Adakah Nabi ﷺ bersolat dengan semua nabi atau hanya sebahagian daripada mereka?

Riwayat yang disepakati kesahihannya menyebut bahawa baginda solat bersama sebahagian para nabi. Seperti dalam Sahih Muslim (172) daripada Abu Hurairah, disebutkan:

... وَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي جَمَاعَةٍ مِنَ الأَنْبِيَاءِ، فَإِذَا مُوسَى قَائِمٌ يُصَلِّى فَإِذَا رَجُلٌ ضَرْبٌ جَعْدٌ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ، وَإِذَا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ قَائِمٌ يُصَلِّي، أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ الثَّقَفِيُّ، وَإِذَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ قَائِمٌ يُصَلِّى، أَشْبَهُ النَّاسِ بِهِ صَاحِبُكُمْ – يَعْنِي : نَفْسَهُ - فَحَانَتِ الصَّلاَةُ، فَأَمَمْتُهُمْ، فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنَ الصَّلَاةِ قَالَ قَائِلٌ: يَا مُحَمَّدُ، هَذَا مَالِكٌ صَاحِبُ النَّارِ، فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ، فَبَدَأَنِي بِالسَّلَامِ


"Aku melihat diriku berada dalam satu jemaah dari kalangan para nabi. Tiba-tiba Musa berdiri sedang menunaikan solat. Seorang lelaki kurus atau sederhana dan berambut kerinting, seakan-akan seperti lelaki daripada kabilah Syanu’ah (dari kabilah Qahtan pada ketinggian dan warna kulit). Dan Isa bin Maryam عليه السلام juga berdiri menunaikan solat. Orang yang paling mirip dengan baginda adalah Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi. Dan Ibrahim عليه السلام juga berdiri menunaikan solat, orang yang paling mirip dengan baginda ialah sahabat kamu semua ini – iaitu baginda sendiri. Maka masuklah waktu solat, lalu aku menjadi imam kepada mereka. Setelah selesai solat, ada seseorang berkata: “Wahai Muhammad, ini adalah Malik penjaga neraka, maka ucapkanlah salam kepadanya. Aku pun berpaling kepadanya, dan dia mendahuluiku memberi salam."

Dalam riwayat Imam Ahmad pula, disebutkan bahawa baginda solat mengimamkan semua para nabi, namun terdapat perbezaan pendapat mengenai kesahihan riwayat ini. Ahmad meriwayatkan (2324) daripada Ibnu Abbas yang berkata:

فَلَمَّا دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَسْجِدَ الْأَقْصَى قَامَ يُصَلِّي، ثُمَّ الْتَفَتَ فَإِذَا النَّبِيُّونَ أَجْمَعُونَ يُصَلُّونَ مَعَهُ، فَلَمَّا انْصَرَفَ جِيءَ بِقَدَحَيْنِ، أَحَدُهُمَا عَنِ الْيَمِينِ، وَالْآخَرُ عَنِ الشِّمَالِ، فِي أَحَدِهِمَا لَبَنٌ، وَفِي الْآخَرِ عَسَلٌ، فَأَخَذَ اللَّبَنَ فَشَرِبَ مِنْهُ، فَقَالَ: الَّذِي كَانَ مَعَهُ الْقَدَحُ أَصَبْتَ الْفِطْرَةَ

"Ketika Nabi ﷺ memasuki Masjid al-Aqsa, baginda berdiri menunaikan solat. Kemudian baginda menoleh dan melihat para nabi semuanya sedang menunaikan solat bersama baginda. Setelah selesai, dibawakan dua bekas – satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri. Salah satunya berisi susu dan yang satu lagi berisi madu. Lalu baginda memilih susu dan meminumnya. Maka dikatakan kepada baginda: Engkau telah memilih fitrah."

Hadis ini dinilai lemah oleh Syu'aib al-Arna'ut dalam Tahkik Musnad Ahmad, namun dinilai sahih oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya demikian juga Ahmad Syakir.

Kedua: Alam roh adalah perkara ghaib

Maksud Nabi ﷺ menunaikan solat bersama semua para nabi, maka yang benarnya ialah baginda solat bersama roh-roh para Nabi yang mengambil rupa bentuk jasad mereka. Alam roh merupakan perkara ghaib yang kita tidak mengetahuinya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. 

Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata:

وأما رؤيته – أي : رؤية موسى عليه السلام - ورؤية غيره من الأنبياء ليلة المعراج في السماء ، لما رأى آدم في السماء الدنيا، ورأى يحيى وعيسى في السماء الثانية، ويوسف في الثالثة، وإدريس في الرابعة، وهارون في الخامسة، وموسى في السادسة، وإبراهيم في السابعة، أو بالعكس: فهذا رأى أرواحَهم مصوَّرة في صور أبدانهم. وقد قال بعض الناس: لعله رأى نفس الأجساد المدفونة في القبور؛ وهذا ليس بشيء… وأما كونه رأى موسى قائما يصلي في قبره، ورآه في السماء أيضا، فهذا لا منافاة بينهما؛ فإن أمر الأرواح من جنس أمر الملائكة، في اللحظة الواحدة تصعد وتهبط كالملك، ليست في ذلك كالبدن

“Adapun baginda melihat Musa عليه السلام dan nabi-nabi lain pada malam Mikraj di langit – seperti melihat Adam di langit pertama, Yahya dan Isa di langit kedua, Yusuf di langit ketiga, Idris di langit keempat, Harun di langit kelima, Musa di langit keenam, dan Ibrahim di langit ketujuh, atau sebaliknya – maka baginda melihat roh-roh mereka yang merupa bentuk jasad mereka. Ada yang berkata: mungkin baginda melihat jasad mereka yang dikebumikan – ini tidak tepat… Dan berkenaan baginda melihat Musa berdiri menunaikan solat di dalam kuburnya dan juga melihat baginda di langit – tiada percanggahan dalam hal itu. Kerana urusan roh sama seperti malaikat – boleh naik dan turun dalam sekelip mata, tidak seperti jasad." (Majmu’ al-Fatawa (4/328).

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali رحمه الله pula berkata:

والذي رآه في السماء من الأنبياء عليهم السلام : إنما هو أرواحهم، إلا عيسى ، فإنه رفع بجسده إلى السماء

"Apa yang dilihat oleh Nabi ﷺ di langit terdiri daripada para nabi عليهم السلام hanyalah roh-roh mereka, kecuali Isa عليه السلام, kerana baginda diangkat dengan jasadnya ke langit." (Fath al-Bari (2/113).

 

Cetak
Wallahu a'lam